KWSP digesa keluar zakat pencarum

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) digesa mengeluarkan zakat daripada pencarum khususnya yang beragama Islam sebagai memenuhi tuntutan syariah.

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Ustaz Idris Ahmad berkata, jawatankuasa syariah KWSP hendaklah bertanggungjawab untuk mengeluarkan zakat bagi pencarum.

"Ini kerana wang KWSP yang ada bukan menjadi hak milik sepenuhnya pencarum. Jadi KWSP wajib mengeluarkan bagi pihak pencarum," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-undang KWSP 2015 di Dewan Rakyat hari ini.

Ketika mencelah Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Nik Mazian Nik Mohamad berkata kebanyakan pencarum tidak keluarkan zakat dengan alasan wang itu bukan milik pencarum sepenuhnya.

Oleh sebab itu katanya, KWSP tidak menekankan pencarumnya yang beragama Islam untuk mengeluarkan zakat.

Bagi Idris, KWSP boleh melaksanakan perkara itu, misalnya bagi pencarum yang mengeluarkan akaun dua wajib mengeluarkan zakat.

"KWSP hanya keluarkan zakat sewaktu pencarum keluarkan akaun dua misalnya RM20,000 untuk bayar rumah maka zakatnya adalah RM500 sebab ia sudah jadi milik sepenuhnya pencarum," katanya. - HARAKAHDAILY 21/10/2015

Share on Myspace