Penasihat Syariah KWSP perlu ada autoriti

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Penasihat Syariah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) perlu diberi autoriti yang efektif dalam intervensi urusan yang berkaitan dengan maslahah pencarum yang beragama Islam.

Ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan ketika berbahas Rang Undang-Undang KWSP (Pindaan) 2015 berkata ia bukan hanya terhad kepada mandat untuk menasihati semata-mata tetapi semua perkara.

"Dalam urusan pelaburan dana akaun umat Islam ini, saya berharap agar pelaburannya tidak banyak terlibat dalam perkara-perkara yang mencetuskan polemik atau konflik.

"Contohnya, perbahasan di kalangan ulama terhadap parameter peratusan penilaian Syariah yang dilakukan oleh Suruhanjaya Sekuriti," ucap beliau.

Beliau yang menyambut baik kepada pihak pengurusan dan pentadbiran KWSP kerana telah menunaikan hasrat majoriti umat Islam untuk diberikan pilihan dana persaraannya diurus mengikut lunas syariah.

"Hasrat ini telah lama diutarakan dan kini diambang realiti pelaksanaan, saya juga mengalu-alukan penubuhan jawatankuasa yang bertujuan untuk menasihati Lembaga dan Panel Pelaburan KWSP dalam memastikan segala urusan berkaitan caruman, pelaburan dan dividen pencarum mematuhi Syari’ah.

"Jangan hanya istilah Islam tetapi perlaksanaan dan operasinya tidak menepati syariah kerana ia akan mendatangkan kesan negatif," sambung beliau lagi.

Ketua Penerangan PAS Pusat itu juga mencadangkan agar jawatankuasa dan sekretariatnua untuk menyelesaikan wang KWSP yang tidak dituntut sama ada pencarum telah meninggal dunia atau tidak menamakan penama.

Menurut beliau, di Amanah Raya Berhad, jumlah akumulatif wang tidak dituntut telah mencecah RM60 bilion, manakala bagi KWSP pula, sejumlah RM378 juta wang tidak dituntut sehingga Disember 2010 yang melibatkan seramai 188,733 orang ahli.

"Jumlah wang yang banyak ini perlu diselesaikan mengikut kaedah yang dibenarkan dalam Islam.

"Selain itu juga porfolio pelaburan KWSP juga mestilah lebih banyak menumpukan kepada bisnes sebenar yang memberikan kesan langsung kepada rakyat dan tidak hanya berfokus kepada ekuiti semata-mata.

"Apatah lagi, ia hendaklah tidak boleh digunakan untuk ‘bailout’ syarikat-syarikat berkaitan kerajaan yang bermasalah seperti 1MDB dan subsidiari-subsidiarinya," sambung beliau lagi. - HARAKAHDAILY 21/10/2015

Share on Myspace