PAS gesa KWSP selesai isu penama bukan Islam

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz meminta kerajaan menyelesaikan isu penama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membabitkan orang bukan Islam.

Katanya, ketika membahas Rang Undang-Undang KWSP (Pindaan) 2015 berkata perkara ini amat penting bagi memastikan tuntutan yang dilakukan dapat diselesaikan.

"Kerajaan perlu selesaikan isu penama membabitkan orang bukan Islam, perkara ini perlu ditelitikan kembali.

"Mungkin dengan membuat penambahan kepada beberapa nama bagi memudahkan proses untuk menyerahkan wang setelah pencarum meninggal dunia," ucap beliau di Dewan Rakyat, petang ini.

Nik Abduh turut meminta agar kerajaan menyumbang zakat perniagaan setiap simpanan caruman yang diperolehi KWSP.

"KWSP perlu menyumbang kepada zakat perniagaan, ini perlu kepada setiap simpanan yang dicarum oleh ahli.

"Dengan cara ini ia dapat mematuhi syariah yang telah ditetapkan oleh Islam," katanya yang juga Ketua Pemuda PAS Malaysia.

Beliau menyambut baik cadangan mewujudkan Jawatankuasa Penasihat Syariah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai langkah menjadikan agensi itu tabung terbesar di dunia mematuhi syariah Islam.

"Saya harap cadangan penubuhan jawatankuasa ini akan memperkukuhkan kedudukan kewangan KWSP pada masa akan datang.

"Dalam pada itu kita tidak mahu campur tangan politik dalam setiap urusan yang boleh bertentangan ajaran Islam," sambung beliau lagi. - HARAKAHDAILY 21/10/2015

Share on Myspace