Jawapan balas DHPP terhadap kenyataan Kit Siang

DR BALACHANDRAN G KRISHNAN | .

Selamatkan Malaysia dengan Islam

Kenyataan Encik Lim Kit Siang bahawa PAS perlu mengelakkan pertembungan tiga penjuru dan sepatutnya menumpukan perhatian di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis sesungguhnya adalah satu penghinaan kepada kebijaksanaan mana-mana individu yang mendukung demokrasi.

Selepas memutuskan hubungan dengan PAS, DAP masih gah memberi nasihat kepada PAS mengenai apa yang perlu dilakukan.

Realitinya adalah hanya PAS dan Umno yang boleh menarik perhatian majoriti umum. Jika ada kumpulan yang boleh menggantikan Umno, maka ia pastinya PAS.

Apabila DAP memutuskan hubungan dengan PAS maka senario tersebut semakin menjadi kenyataan. Terima kasih kepada DAP. Maka kini wajib untuk PAS bertanding di semua kerusi bagi menggantikan Umno.

Rakyat perlu menganjak pemikiran dari andaian bahawa jika wujud pertembungan tiga penjuru maka Umnolah yang akan meraih kejayaan. Saya mohon berbeza dalam hal ini. Saya yakin sekiranya wujud pertembungan tiga penjuru maka kemenangan mutlak menjadi milik kita.

DAP dan lain-lain boleh mengatakan kita bermimpi. Kita katakan kepada mereka bahawa setiap kejayaan bermula dengan mimpi.

Lebih bijak bagi DAP untuk menumpukan perhatian kepada agenda politik mereka daripada menyuruh PAS apa yang perlu dilakukan.

Kami sentiasa menyokong PAS di  dalam perjuangan parti ini untuk mewujudkan negara berkebajikan yang merangkumi pelaksanaan syariah, mengutuk politik perkauman dan mengagihan kekayaan negara secara adil bagi mewujudkan Malaysia yang harmoni.

Malaysia yang dahulunya sebuah negara yang indah kini telah menjadi hodoh dan tidak lagi boleh diperbaiki. Kita perlu menyelamatkan Malaysia daripada kekejaman Malaysia dan pemimpinnya. Islam adalah satu-satunya 'senjata' yang boleh menyelamatkan Malaysia daripada Malaysia.

PAS mempunyai 'senjata' ini. Masyarakat tiada pilihan lain selain menyokong PAS dalam perjuangan untuk mewujudkan negara berkebajikan berasaskan Islam di mana prinsip berbuat baik dan beralih daripada yang tidak baik demi manfaat negara.

Masyarakat bukan Melayu pula perlu mencerminkan nilai-nilai agama mereka dengan nilai-nilai Islam dan memperkasakan diri mereka dalam mewujudkan Malaysia yang lebih baik di mana kita diangkat sebagai warganegara Malaysia tanpa mengira latar belakang kaum, agama atau kepercayaan agar Malaysia dapat diselamatkan. Hak dan kehendak setiap agama lain mesti dihormati tanpa perlunya bantah-membantah.

Menyelamatkan Malaysia adalah tanggungjawab moral rakyat. Pilihan yang ada cukup terbuka dan terpulang kepada kita untuk menentukan sama ada Umno atau PAS yang boleh membawa rasa damai untuk kita semua.

Kami dalam PAS akan terus mengejar impian kami dengan penuh dedikasi dan percaya bahawa kemenangan muktamad adalah milik kita sebagaimana ketentuan yang telah ditetapkan oleh tuhan. - HARAKAHDAILY 21/10/2015
 
Penulis ialah Ketua Penerangan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Malaysia.

Share on Myspace