Speaker boleh pertimbang usul undi tidak percaya

BERNAMA | .

KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri boleh dipertimbang untuk dibahaskan jika pembangkang dapat menunjukkan mereka mempunyai lebih sokongan terhadap usul berkenaan.

Pandikar Amin berkata, jika jumlah anggota Parlimen yang bersetuju dengan usul itu melebihi daripada mereka yang tidak bersetuju, beliau boleh meminta kepada pihak kerajaan supaya perkara itu dibahaskan di Parlimen.

"Setakat ini saya masih menunggu lagi berapa senarai yang pembangkang hantar di meja saya kerana saya tahu mereka mempunyai 89 (wakil) sahaja belum berganjak.

"Sekiranya mereka beri saya senarai mungkin sekarang sudah 90 atau 100 orang, mungkin saya boleh tekan kepada kerajaan untuk bahas kerana majoriti (kerajaan) hanya tinggal berapa," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, di sini Rabu.

Beliau turut mempersoalkan jumlah anggota Parlimen pembangkang yang akan bersetuju dengan usul itu selepas PAS tidak lagi bersama dalam Pakatan Harapan pembangkang.

Pandikar Amin menjelaskann, mana-mana anggota Parlimen berhak membawa sebarang usul, namun ia tidak semestinya akan dibahaskan kerana urusan kerajaan perlu didahulukan.

"Biar saya jelaskan. Apa-apa usul boleh dibawa oleh sesiapa tetapi memenuhi syarat peraturan 26 dan 27 iaitu perlu ada notis. Kalau itu dipenuhi, maka usul itu kita boleh masukkan dalam aturan mesyuarat.

"Tetapi tidak semestinya usul yang dibawa itu terutama sekali dibawa oleh bukan kerajaan dapat dibahas kerana terpaksa lihat kepada peruntukan Peraturan Mesyuarat 15 yang menyatakan setiap hari bermesyuarat, urusan kerajaan perlu didahulukan," katanya.

Beliau berharap pembangkang dapat segera memperoleh senarai anggota yang bersetuju dengan usul berkenaan, agar ia tidak dipersoalkan lagi. - Bernama

Share on Myspace