92% rakyat Kelantan sokong laksana KJS

SALMAH MAT HUSAIN | .

KOTA BHARU: Kajian Pusat Kajian Strategik (PKS) di 24 kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) di Kelantan mendapati 92 peratus pengundi memberi sokongan pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah (KJS) ll.

Menteri Besar Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata reaksi pengundi diperolehi daripada soalan-soalan yang ditanya kepada pengundi terbabit.

Soalan terbabit iaitu patutkah KJS dilaksanakan di Kelantan dan perlukah pelaksanaan KJS perlu mendapat kerjasama kerajaan pusat.

“Responden dipilih melalui tiga kategori iaitu bandar, pinggir bandar dan pedalaman yang dihantar penyelidik melalui sistem pesanan ringkas,” katanya selepas pelancaran Promosi KJS II (1993) (Pindaan 2015) di majlis Himpunan Belia Negeri Kelantan sempena Hari Hududullah semalam.

Terdahulu ketika berucap beliau berkata, promosi hudud itu dibuat supaya anak-anak muda memahami lebih jelas usaha yang dibuat kerajaan negeri.

Selain itu bertujuan meyakinkan masyarakat hanya undang-undang Allah sahaja yang boleh menyelesaikan masalah manusia.

“Biar kita yakin undang-undang Allah sahaja yang boleh menyelesaikan segala masalah dihadapi manusia kerana Dia sebagai pencipta,” ujarnya.

Turut hadir pada majlis itu Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Abdullah, Ketua Hakim Syarie Datuk Daud Muhammad, Penasihat Undang-Undang Negeri Shahidani Abd Aziz @ Juned, anggota-anggota Exco dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, Datuk Che Mohd Rahim Jusoh. - HARAKAHDAILY 22/10/2015

Share on Myspace