Kerajaan digesa perluas sekolah sukan setiap negeri

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa memperluaskan sekolah sukan sekurang-kurangnya di setiap negeri bagi mewujudkan budaya bersukan dalam kalangan masyarakat.

Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, budaya bersukan bukan hanya dilihat dari segi pencapaian semata-mata tetapi kelangsungan usaha itu mestilah dikaitkan dengan aspek pendidikan.

"Apakah mekanisma yang dilaksanakan oleh kementerian sukan untuk wujudkan budaya sukan seperti dititikberatkan di Amerika Syarikat.

"Kita perlu ada kolej sukan atau universiti di dalam negara," katanya yang juga Setiausaha Agung PAS ketika mengajukan soalan tambahan dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat, pagi ini.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dalam jawapannya menegaskan usaha menyediakan sekolah-sekolah sukan di bawah Kementerian Pendidikan.

Katanya, setakat ini hanya Sekolah Sukan Bukit Jalil mempunyai kerjasama erat dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

"Usaha mewujudkan sekolah atau kolej sukan telah dimajukan ke Kementerian Pengajian Tinggi," katanya.

Sebelum itu, Khairy menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa yang meminta Menteri Belia dan Sukan menyatakan sejauh manakah keberkesanan Program Fit Malaysia yang giat dijalankan di seluruh negara dan adakah ianya mencapai sasaran yang telah ditetapkan oleh Kementerian dan nyatakan langkah pemantapan program berkenaan pada masa hadapan. - HARAKAHDAILY 22/10/2015

Share on Myspace