Polis Sarawak bersiap hadapi pilihan raya negeri

BERNAMA | .

KUCHING: Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Seri Muhammad Sabtu Osman telah mengarahkan polis kontinjen Sarawak melakukan persiapan awal untuk menghadapi pilihan raya negeri akan datang.
    
Beliau berkata persiapan itu termasuk logistik dan kewangan manakala pegawai dan anggota dilengkapi dengan ilmu pengetahuan tentang pilihan raya.
    
"Pegawai dan anggota perlu diberi input dari aspek perundangan dan cara-cara menangani masalah yang dikenal pasti atau yang dihadapi semasa proses pilihan raya diadakan,” katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sarawak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di sini hari ini.
    
Penggal Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak semasa yang mempunyai 71 kerusi akan berakhir menjelang Jun tahun depan.
    
Katanya beliau mengharapkan sifar kejadian yang tidak diingini sepanjang proses pilihan raya negeri kelak.    

Dalam konteks ini, Muhammad Sabtu berkata kerjasama yang mantap dan jitu daripada semua pegawai, anggota dan pegawai awam sangat diperlukan.
    
"Marilah kita bekerja secara berpasukan yang ikhlas dan progresif bagi memacu PDRM ke tahap yang lebih cemerlang, khususnya di negeri Sarawak,” katanya.
    
Sementara itu, beliau berkata indeks jenayah bagi negeri Sarawak pada keseluruhannya menurun sebanyak 915 kes atau 13.45 peratus bagi tempoh Januari hingga 19 Okt lepas berbanding tempoh yang sama tahun lepas.
    
Katanya, jenayah kekerasan mencatat penurunan sebanyak 116 atau 14.83 peratus sementara jenayah harta-benda menurun sebanyak 799 kes atau 13.27 peratus.
    
Beliau berharap prestasi itu akan berterusan hingga ke hujung tahun ini. - Bernama

Share on Myspace