Keretapi laju perlu kajian menyeluruh

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta mengkaji secara menyeluruh kesan yang dihadapi berikutan cadangan projek kereta api laju dari Kuala Lumpur ke Singapura.

Ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan berkata kajian ini perlu agar syarikat penerbangan mahupun Kereta api Tanah Melayu Berhad (KTMB) tidak terkesan dalam pelaksanaan projek tersebut.

"Kita minta kerajaan mengkaji semula pembinaan projek kereta api laju antara Singapura ke Kuala Lumpur.

"Dana yang besar itu boleh dibelanjakan untuk kebajikan rakyat terbanyak, malah ia akan turut memberi implikasi kepada syarikat penerbangan mahupun KTMB serta pengangkutan awam yang lain," katanya juga Ketua Penerangan PAS Pusat pada soalan tambahan di parlimen hari ini.

Sebelum itu, Ahli Parlimen Rompin Datuk Hasan Arifin meminta Perdana Menteri menyatakan adakah projek kereta api laju dari Kuala Lumpur ke Singapura akan diteruskan. Apakah kesan keuntungan ekonomi yang dapat diperoleh kepada negara kita.

Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim ketika menjawab pertanyaan Nasruddin berkata projek tersebut telah dibincangkan antara kedua-dua belah pihak meliputi semua perkara.

"Kedua-dua negara telah meneliti tentang implikasi atas pelaksanaan projek tersebut termasuk melihat tarikh selesai projek.

"Kos projek ini amat besar dan memberi keuntungan kepada ke dua-dua buah negara, jika kita kata implikasi kepada sektor penerbangan kita, Singapura juga melihat perkara yang sama," katanya lagi. – HARAKAHDAILY 22/10/2015

Share on Myspace