Dewan Rakyat: Lim Kit Siang digantung enam bulan

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang digantung enam bulan daripada menghadiri persidangan Dewan Rakyat.

Usul untuk menggantung Lim dibawa oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said yang disokong oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim.

Keputusan itu dibuat oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Seri Ronald Kiandee pada jam 1.12 petang selepas undi belah bahagi anggota ahli parlimen setelah lebih 45 minit mereka berbahas.

Ahli Parlimen yang mengambil bahagian membahaskan usul itu ialah Datuk Seri Tiong King Sing (Bintulu), Gobind Singh (Puchong), Datuk Noh Omar (Tanjung Karang), Datuk Dr Mujahid Yusof Rama (Parit Buntar) dan Lim Kit Siang (Gelang Patah).

Jumlah ahli parlimen yang bersetuju usul itu seramai 107 dan tidak bersetuju seramai 77 orang dan seorang berkecuali.

Ketika membaca usul itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said hari ini selepas Kit Siang tidak membuat permohonan maaf dan menarik balik kenyataan terhadap ‎Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia sehingga jam 11.30 pagi ini.

Menurut Azalina, Kit Siang telah mengeluarkan tuduhan terhadap Yang Dipertua Dewan Rakyat (YDP) Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia antaranya YDP tidak ada kuasa di bawah peraturan Dewan Rakyat.

"Gelang Patah dakwa YDP salah guna kuasa, YDP juga melakukan sabotaj terhadap penyiasatan 1MDB, YDP diktator dalam pentafsiran peraturan mesyuarat dan mempolitikan kedudukannya.

"Tuduhan Gelang Patah satu dakwaan serius terhadap YDP sekali gus satu penghinaan kepada Majlis Dewan Rakyat. Maka Gelang Patah hendaklah digantung selama enam bulan bermula tarikh usul ini dibuat," tegasnya.

Kit Siang didakwa mengeluarkan tuduhan itu dalam perbahasan ketika usul melantik Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada 19 Oktober 2015.

Notis penggantungan ahli Parlimen DAP itu merupakan usul pertama yang didebatkan dalam sidang Dewan Rakyat di Parlimen, hari ini. - HARAKAHDAILY 22/10/2015

Share on Myspace