PAS sokong tolak usul gantung Kit Siang

SALMIYAH HARUN | FOTO WAN ZAHARI | .

KUALA LUMPUR: PAS menyokong penolakan usul menggantung Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang dari menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan.

Ketua Whip Ahli Parlimen PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, isu yang besar di sebalik insiden hari ini adalah isu negara bukan isu penghinaan.

"Kalau kita tengok isu fitnah ia ada kecuali. Tetapi bagi kita Gelang Patah tidak diberi peluang untuk mengemukakan hujah untuk pertahankan diri," katanya pada sidang media bersama-sama Kit Siang termasuk ahli parlimen pembangkang yang lain.

Justeru katanya yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu, keadilan sebenar di dalam isu ini tidak ditegakkan sebaiknya.

Turut bersama dalam sidang media itu Ahli Parlimen Bukit Gantang dan Pokok Sena, Idris Ahmad dan Datuk Mahfuz Omar.

Sidang media diadakan sebaik sahaja Timbalan Yang Dipertua Datuk Seri Dr Ronald Kiandee mengumumkan usul yang dibawa oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Said disokong melalui undi belah bahagi.

Kit Siang digantung selama enam bulan dari menghadiri sidang Parlimen ekoran beliau didakwa menghina Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin ketika perbahasan usul pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada 19 Oktober lalu. - HARAKAHDAILY 22/10/2015

Share on Myspace