PAS sokong Jawatankuasa Penasihat Syariah KWSP

DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI | .

SIDANG Dewan Rakyat pada 20, 21dan 22 Oktober membahaskan Rang Undang-Undang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (Pindaan 2015). Antara perkara penting yang dicadangkan untuk dipinda ialah penubuhan Jawatankuasa Penasihat Syariah bagi menasihati Lembaga dan Panel Pelaburan dalam memastikan pengurusan akaun ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja mematuhi prinsip Shariah, termasuk caruman, pelaburan dan dividen. Nasihat Jawatankuasa Penasihat Syariah pula adalah mengikat Lembaga dan Panel Pelaburan menurut seksyen 23D (2).

Pelaburan Haram KWSP

Selama tiga hari perbahasan saya berpeluang untuk berucap dan mencelah ketika penggulungan Timbalan Menteri terbabit. Dalam ucapan perbahasan, saya menyokong usaha pindaan ini kerana ia bakal menyelamatkan caruman orang-orang Islam daripada terlibat dengan pelaburan yang haram. Pelaburan KWSP ialah dalam Sekuriti Kerajaan Malaysia dan Instrument Pasaran Wang yang kedua-duanya berasaskan faedah Riba. Begitu juga pinjaman korporat yang sebahagiannya berasaskan faedah Riba. Pelaburan dalam Ekuiti juga ada yang tidak mematuhi Shariah.

Untuk tahun 2014 pelaburan KWSP berjumlah RM597 bilion. Sebanyak RM157 bilion (26%) dilaburkan dalam Sekuriti Kerajaan Malaysia, RM13 bilion dalam Instrument Pasaran Wang, RM154 bilion (25%) dalam Pinjaman dan Bon Korporat, RM257 bilion (43%) dalam Ekuiti dan RM14 bilion dalam Hartanah.

Pencarum di kalangan muslim yang prihatin dengan hukum-hakam Islam terpaksa membersihkan Dividen yang mereka terima kerana sebahagiannya adalah daripada hasil keuntungan pelaburan yang tidak patuh Syariah.

Zakat KWSP

KWSP adalah tabung simpanan wang yang tentunya terikat dengan hukum zakat bagi wang simpanan menurut Islam namun KWSP sebagai pengurus dana sebelum ini tidak membayar zakat bagi wang tersebut.

Fatwa-fatwa yang ada oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan atau Jawatankuasa Fatwa Negeri lebih fokus kepada tanggungjawab pencarum yang tidak mempunyai kuasa penuh atau sempurna milik terhadap caruman mereka. Berdasarkan situasi itu, fatwa-fatwa oleh Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan dan Jawatankuasa Fatwa beberapa negeri menfatwakan bahawa pencarum tidak perlu membayar zakat melainkan apabila mengeluarkan caruman mereka daripada KWSP.

Alasan Syariahnya ialah wang caruman dalam pemilikan KWSP “tidak sempurna milik” bagi pencarum. Hal ini kerana syarat-syarat yang ditetapkan oleh KWSP untuk mengeluarkan caruman menunjukkan pencarum tidak mempunyai kuasa ke atas wang simpanan tersebut untuk dibelanjakan bagi keperluan dirinya kecuali apabila telah tiba masa yang ditetapkan atau dengan tujuan yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan.  Ia hanya sempurna milik apabila dikeluarkan oleh pencarum sekiranya cukup nisab. Justeru, kewajipan membayar zakat ialah apabila pencarum mengeluarkannya daripada KWSP.

Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan pada 1982 dan jawatankuasa fatwa negeri seperti Selangor pada 2001 dan Johor pada 2008 dan 2012 mensyaratkan zakat dikeluarkan selepas cukup “haul” setahun wang tersebut dikeluarkan.

Tetapi fatwa terakhir oleh Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan pada 2006  dan Selangor pada 2007 ialah menggalakkan pencarum membayarnya sebaik dikeluarkan tanpa menunggu tempoh setahun.

Apa yang dijelaskan di atas ialah berhubung tanggungjawab pencarum di saat mereka tidak mempunyai milik penuh terhadap pengurusan wang simpanan mereka. Bagaimana pula dengan KWSP sendiri sebagai pemegang amanah yang mempunyai kuasa untuk menguruskan caruman tersebut? Jika mahu, mereka mampu bertindak bagi pihak pencarum bagi mengeluarkan zakat simpanan para pencarum yang sepatutnya dibayar.

Bayangkan sekiranya KWSP mengambil tanggungjawab membayar zakat bagi wang simpanan orang Islam yang diuruskan oleh mereka. Sekiranya diandaikan 600 bilion dana pelaburan KWSP sekarang dengan 60% nya adalah milik caruman orang Islam tentu sahaja zakat tahunan yang boleh dimanfaatkan oleh mereka yang layak untuk mendapat zakat setiap tahun menjangkau 9 bilion setahun. Zakat ini boleh digunakan untuk manfaat pencarum KWSP yang termasuk dalam Asnaf Zakat.

Jawatankuasa Syariah Perlis pernah menfatwakan pada 1 Disember 1990 bahawa KWSP bertanggungjawab mengeluarkan zakat bagi pihak pencarum Islam. Teks fatwanya ialah: “Wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) seperti yang berkuatkuasa sekarang ini tidak diwajibkan zakat ke atas pencarumannya kerana wang tersebut bukan milik sempurna bagi pencarum seperti yang dijelaskan oleh wakil KWSP Encik Roslan bin Putih dalam perbincangan dengan ahli-ahli Jawatankuasa Syariah pada 22 Jamadil Awam 1411 bersamaan 1 Disember 1990. Oleh kerana jumlah wang tersimpan dalam KWSP adalah melebihi nisab dan mencukupi haul maka ianya tetaplah wajib zakat. Oleh itu Jawatankuasa Syariah berpendapat pihak KWSP bertanggungjawab mengeluarkan zakat bagi pihak pencarum-pencarum Islam sepertimana yang diamalkan oleh Lembaga Urusan dan Tabung Haji.”

( rujuk http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-negeri/zakat-kwsp )

Saya dimaklumkan oleh Timbalan Menteri terbabit dalam perbincangan di luar Dewan Rakyat bahawa tabungan KWSP tidak dikenakan cukai oleh kerajaan. Justeru, secara dasarnya tiada peruntukan untuk dikenakan zakat. Oleh itu saya mengambil peluang dalam sesi celahan penggulungan oleh Timbalan Menteri pada petang ini mencadangkan agar pindaan akta berkaitan jika perlu wajar dibuat untuk membolehkan KWSP membayar zakat. Ia bukan sahaja memudahkan urusan pencarum melibatkan tanggungjawab zakat malah memberi keuntungan kepada umat Islam khususnya pencarum sendiri yang mungkin sebahagiannya termasuk dalam kategori yang layak menerima bantuan zakat. – HARAKAHDAILY 22/10/2015

Penulis ialah Ahli Parlimen Kuala Nerus

Share on Myspace