Dakwaan Timb Ketua Caw Khas, mana siasatan?

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mempertikaikan jawapan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang tidak melakukan apa-apa siasatan terhadap dakwaan Timbalan Ketua Cawangan Khas Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Beliau sebelum itu melalui jawab lisan terhadap Menteri Dalam Negeri yang menanyakan apakah hasil siasatan terhadap dakwaan yang dibuat oleh Timbalan Ketua Cawangan Khas PDRM, Datuk Abd Hamid Bador.

"Saya terkejut dengan jawapan yang diberikan Timbalan Perdana Menteri terhadap soalan saya mengenai siasatan terhadap dakwaan yang dibuat oleh Abd Hamid.

"Jawapan yang diberikan adalah tiada siasatan dijalankan kerana tiada laporan polis yang dibuat terhadapnya adalah suatu yang tidak boleh diterima," katanya merujuk jawapan bertulis.

Tambah beliau, tuduhan yang dilakukan Abd Hamid telah dibuat terhadap kerajaan dan PDRM di bawah tanggungjawab Ahmad Zahid.

"Tuduhan dan dakwaan tersebut menunjukkan berlakunya salah guna kuasa kerajaan dan Polis melindungi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Jika persoalan tiada laporan Polis dibuat, sepatutnya Ahmad Zahid dan Ketua Polis Negara (KPN) bertindak membuat  laporan Polis untuk membolehkan siasatan dilakukan bagi membersihkan nama baik Najib, kenapa mereka tidak lakukannya," soal beliau.

Mahfuz yang turut berpendapat Ahmad Zahid cuba bermain politik supaya masyarakat terus mempersoalkan Najib tanpa usaha membantu membersihkan nama baik Najib.

"Jika Menteri Dalam Negeri menafikan untuk tidak membersihkan nama Najib mungkin Ahmad Zahid dan KPN sememangnya mengakui kebenaran dakwaan tersebut.

"Adakah mereka berdua bimbang jika Abd Hamid didakwa di mahkamah maka akan terbongkar penglibatan mereka berdua dalam salahguna kuasa melindungi Najib," soal  beliau lagi. – HARAKAHDAILY 22/10/2015

Share on Myspace