Kor Medik Jabatan Amal Malaysia ditubuh

HARAKAHDAILY | .

Jabatan Amal Malaysia yang gah dengan nama timangan 'Tentera Merah' melangkah selangkah lagi ke hadapan dengan penubuhan Kor Medik Jabatan Amal Malaysia.

Penubuhan ini termeterai sebaik sahaja selesai muktamar PAS kali ke-61 di Kuala Selangor, Jun lepas.

Ketumbukan tidak kurang 20 orang anggota Kor Medik di setiap negeri memberi satu rangsangan baru kepada Jabatan Amal secara keseluruhannya.

Gabungan mantap anggota Kor Medik ini terdiri dari pelbagai perjawatan. Bermula dari golongan profesional sama ada doktor dan paramedik sehinggalah ke anggota sokongan dan anggota am.

Kor Medik telah diperkenalkan semasa Simposium Himpunan Profesional Istiqamah (Shifa) pada pagi 17 Oktober lepas. Perhimpunan ini bersempena dengan Himpunan 60K (Fastaqim) pada sebelah petangnya.

Pasukan Kor Medik Jabatan Amal Malaysia ini telah bertindak dengan cemerlang semasa perhimpunan Fastaqim. Lebih 30 kes kecemasan telah dirujuk dan dirawat oleh Kor Medik ini.

Ini menujukkan kehadiran mereka amat signifikan dalam suasana perhimpunan besar seperti ini dan dalam suasana kecemasan.

Menurut Pengarah Kor Medik Brig Gen (Amal) Mohd Aidil Firdauz, tujuan utama penubuhan Kor Medik ini adalah bagi membantu dan menyelamat dari sudut perubatan mangsa bencana atau seumpamanya.

Menurut beliau lagi, latihan pertolongan cemas dan menyelamat akan diberikan kepada semua anggota pelbagai peringkat dalam masa terdekat.

Beliau juga bersyukur atas sokongan padu dari kumpulan profesional istiqamah yang turut menghulurkan tangan berganding bahu dalam Kor Medik ini. - HARAKAHDAILY 23/10/2015

Share on Myspace