Jerebu: Sepanduk dipasang ingatkan orang ramai

SALMAH MAT HUSAIN | .

KOTA BHARU: Selepas kira-kira sebulan suasana kelam dirasai di banyak bandar di negeri ini, minggu ini jerebu turut menyelimuti Kota Bharu sehingga jarak penglihatan agak berkurangan.

Ekoran itu kerajaan negeri menasihatkan ibu bapa supaya mengawasi anak-anak daripada melakukan aktiviti di luar rumah.

“Saya berharap pihak sekolah juga berbuat demikian kerana bacaan IPU agak meningkat di Kelantan minggu ini,” kata anggota Exco kerajaan negeri, Dr Ramli Mamat.

Beliau berkata biar pun bacaan IPU jerebu di Kelantan masih terkawal dan di tahap baik, namun orang ramai dinasihatkan sentiasa berwaspada berkaitan bahaya jerebu kepada kesihatan.

Menurutnya bagi memperingatkan orang ramai terhadap kesan jerebu beberapa sepanduk dipasang di sekitar bandar Kota Bharu.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat, Kesihatan dan NGO bagaimanapun berkata sekiranya bacaan IPU meningkat sehingga 200 kerajaan negeri akan mempergiatkan kempen memakai topeng khas bagi menangani masalah itu.

“Kita juga kena sedar jika tidak dikawal sebaiknya, penyakit-penyakit bawaan boleh berlaku terutamanya mereka yang menghidapi alahan,” ujarnya.

Beliau ditemui selepas majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2015 peringkat negeri di Dataran Stadium Sultan Muhammad Ke1V semalam.

Bacaan IPU di sini pada jam 10 pagi ini adalah 122. - HARAKAHDAILY 23/10/2015

Share on Myspace