'Akulah ARC, aku juga Amal' di sebalik tragedi 18 Okt

MOHD SHAMSURI HUSSIN | .

Selepas melepasi 500 meter susur Paka di LPT2 dari Terengganu ke Kuantan, aku perlahankan kenderaanku (Hilux - pinjam) di bahu jalan betul-betul di belakang motosikal SYM200 yang dipandu oleh Adep yang membonceng Shamsuhaimi Che Mat Haimi CM (arwah). Kedua-dua  mereka memakai baju ARC bersama vest Jabatan Amal. Kedengaran arwah bersuara dan memberitahu Pengarah ARC Pahang, Saudara Saha agar perlahankan kenderaan kerana salah seorang daripada sahabat tertinggal di belakang iaitu Abang Din Jengka 7. Selang beberapa saat, Abang Din melintasi kenderaanku dan terus diikuti Saha dan Rozi.

Selepas sahabat lain melepasiku, maka motor Adep dan arwah terus bergerak ke tengah jalan dan diikuti rapat oleh keretaku. Ketika itu aku nampak arwah membuat isyarat untuk ke kanan menyebabkan aku memasang lampu kecemasan dan terus ke kanan (tengah) jalan. Dalam beberapa saat, motor yang dinaiki mangsa terus bergesel dengan penghadang jalan (tengah) menyebabkan motor dan mangsa terguling-guling di tengah jalan. (+-12.30 mlm) Jarak antara bergesel dengan motor berhenti (terbalik) +- 50 meter (ukuran polis). Kejadian yang sangat menyayat hati ini disaksi olehku dan isteri yang berada di sebelah. Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar.

Selepas memberhentikan keretaku dalam 2 meter dari arwah, aku terus menekan hon sekuat hati agar beberapa buah kereta dan lori di belakangku berhenti. Dalam keadaan yang agak cemas, aku terus turun dari kereta menuju ke belakang untuk memberhentikan kenderaan yang datang dari arah belakang. Sebelum turun, sempat aku memesan kepada zaujahku agar menekan hon sehingga kereta berhenti, selepas itu dia perlu telefon 999 dan beri bantuan kepada yang cedera (Adep).

Selepas beberapa kereta dan lori yang berada di belakang keretaku berjaya diperlahankan (+-200 meter) dengan menunjukkan arah laluan di laluan kecemasan sahaja, maka aku terus berlari sehingga 300 meter untuk memperlahankan kenderaan yang semakin banyak. Aku menjaga lalu lintas bermula kejadian jam 12.30 mlm sehingga 1.00 pg selepas dibantu oleh Peronda Lebuh raya yang kebetulan balik daripada kerja (tidak pakai uniform). Aku meminta izin untuk melihat sahabatku yang terbaring dan cedera.

Selepas melihat jenazah arwah (chcek nadi - anggaran awal), aku juga mengambil peluang menenangkan Adep yang menangis, sambil aku cuba mendapat kepastian zaujahku telah menelefon 999, lebuh raya dan saudara mara mangsa.

Selepas semuanya OK, maka aku mencapai vest Amal yang dipakai oleh Adep untuk sambung menjaga lalu lintas. Aku berlari 300 meter ke tempat yg aku jaga sebelum ini untuk membantu peronda lebuh raya (pakaian biasa) yang tidak mempunyai lampu dan pakaian keselamatan. Maka, ketika itu dia memanggil aku "Ustaz Amal" (ustaz sebab pakai kopiah dan vest Amal). Alhamdulillah, +- 1.15 pg, peronda yang berpakaian keselamatan lengkap tiba untuk membantu. jalan ditutup 300 meter dari tempat kejadian. Alhamdulillah, aku rasa selamat untuk bergerak ke keretaku dan melihat mangsa dengan lebih dekat. +-1.30 pg Ambulans pertama tiba untuk membantu dan mengambil Adep. Mizi ARC teman Adep sehingga ke hospital dan wad. Manakala 2.40 pg trak polis tiba untuk ambil arwah dan motor SYM200. Aku mengikuti trak polis menuju ke Hospital Kemaman.

Alhamdulillah aku sampai di bilik mayat bersama arwah beberapa minit sebelum azan Subuh. Dalam masa yang sama aku menerima banyak panggilan telefon daripada sahabat dan saudara mara mangsa untuk mengesahkan peristiwa dan kedudukan mangsa. Semasa berurusan di hospital, aku masih memakai vest Amal walaupun hanya berselipar sahaja. Sebelum bergerak dari tempat kemalangan tadi, aku sempat memesan kepada semua sahabat ARC yang berkonvoi, kita akan selesaikan urusan jenazah arwah sehingga ke kubur. Maka, zaujahku menghubungi majikannya  atas kecemasan tidak dapat hadir kerja dan kami semua tunggu hingga selesai.

Melayan kehadiran pimpinan PAS, sahabat ARC sekitar dan sanak saudara mangsa sehingga kami terlupa untuk berehat. Tiada selera makan, tapi masih bertenaga untuk uruskan jenazah sahabat yang masih menunggu urusan hospital dan polis. Alhamdulillah jam 10 pagi lebih, selesai semua urusan termasuk mandikan dan solat jenazah. Kami bergerak ke Kg Paya Pasir, Maran.

Kami jangkakan jam 1.00 tgh sampai di Masjid Paya Pasir, Maran. Alhamdulillah, beberapa minit kereta jenazah dan rombongan sampai, berkumandang azan Zohor. Apa yang menggembirakan aku dan sahabatku apabila melihat ramai pimpinan, para ulama, sahabat handai dari segenap negeri datang untuk solat jenazah. Antara pimpinan yang ada, Tuan Guru Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man Timbalan Presiden PAS, Tuan Guru Haji Mohd Baqi Othman mantan Pesuruhjaya PAS Pahang, YB Ustaz Rosli Jabar Pesuruhjaya PAS Pahang, Tuan Nazree Pengarah Amal Malaysia, Pimpinan PAS Pahang, saf kepimpinan ARC Malaysia, pimpinan PAS Kawasan Maran, Jabatan Amal Maran, sahabat ARC Selangor dan sahabat yang mengenali beliau.

Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar, hebatnya arwah... Allah telah muliakan beliau ketika beliau pergi menghadap Ilahi. Walaupun beliau tidak pernah memegang jawatan tinggi, sekadar AJK ARC (Altenative Riding Club) Pahang dan Timbalan Komandan Amal Maran sahaja, tapi keikhlasan beliau sangat dirasai oleh sahabat-sahabat ketika berurusan dengan beliau. Inilah hadiah sebuah keikhlasan.

Ya Allah, sebagaimana Engkau muliakan para nabi dan pejuang terdahulu, maka muliakanlah kami sekeluarga yang berjuang dalam menegakkan agama-Mu di bumi Malaysia ini. Ampunkan dosa-dosa kami, terimalah taubat kami, rahmati kami di dunia dan akhirat. Amin. - HARAKAHDAILY 23/10/2015

Penulis ialah Timbalan Presiden ARC Malaysia, Exco Dewan Pemuda PAS Pahang, Pengarah DACS Pahang.

 

Share on Myspace