Projek perumahan rakyat terbengkalai 17 tahun

KHAIRIL ABDUL RAHIM | .

Andansura menunjukkan papan tanda projek terbengkalai yang sepatutnya sudah didiami penduduk.

BENTONG: PAS tidak mahu pihak kerajaan menggunakan projek-projek perumahan rakyat terbengkalai sekali lagi dijadikan ‘gula-gula’ pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
 
Sehubungan itu, PAS Pahang mendesak pihak pemaju dan kerajaan negeri mengambil serius seterusnya menyelesaikan segera Projek Perumahan Rakyat Taman Desa Baris di sini yang terbengkalai hampir dua dekad lalu.
 
Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Andansura Rabu berkata, sehingga kini perumahan rakyat yang dimulakan pada 1998 itu hanya menjadi projek ‘gajah putih’ dan gagal dimanfaatkan meskipun jutaan ringgit wang rakyat sudah dihabiskan.
 
“PAS Pahang menggesa projek yang dimulakan sejak 1998 ini diselesaikan dengan segera dan jangan lagi dijadikan gula-gula menjelang PRU akan datang dan rakyat menjadi mangsanya.
 
“Penduduk setempat yang layak dan dijanjikan menduduki perumahan tersebut terus menunggu dan menunggu namun hingga ke hari ini masih belum diserahkan untuk didudukinya,” katanya ketika mengetuai rombongan Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar negeri ke sini susulan aduan rakyat.
           
Andansura yang juga Adun Beserah berkata, lebih mengecewakan ialah perumahan tersebut berada dalam Dun Pelangai iaitu kawasan diwakili Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob sendiri.
 
Terdapat 200 buah rumah yang sepatutnya diduduki oleh rakyat berpendapatan rendah namun gagal dilaksanakan.

Penduduk mempersoalkan status pemohonan mereka sejak 1998 masih tiada jawapan hingga kini.
 
Difahamkan telah beberapa kali projek tersebut bertukar kontraktor dan dibaik pulih sehinggalah akhirnya diambil alih oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) pertengahan tahun ini.
 
“Persoalannya mengapakah pihak kerajaan tidak mengambil sebarang tindakan ke atas pemaju sekiranya ianya adalah kesan kegagalan mereka?” soalnya.
 
Katanya, rakyat mengadu pada PRU yang lalu jentera PRU Umno telah membangkitkan isu jasa-jasa kerajaan termasuk kononnya menawarkan perumahan terbengkalai ini kepada penduduk dalam Dun berkenaan. - HARAKAHDAILY 23/10/2015

Share on Myspace