Bajet mencabar, pendapatan negara sangat terhad

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Rantau Panjang Siti Zailah Mohd Yusof menyifatkan Bajet 2016 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak adalah bajet yang cukup mencabar.

Ini kerana bagi Zailah, sumber pendapatan negara yang sangat terhad apabila hampir 50 peratus daripada sumber petroleum tidak dapat menampung kerana penurunan harga minyak dunia.

"Ini menyebabkan kebergantungan tinggi pendapatan negara adalah dari hasil sumber GST.

"Jadi sebenarnya apa yang diperuntukkan oleh rakyat merupakan sumber dari cukai yang dikenakan kepada rakyat iaitu GST," ujarnya ketika ditemui di lobi Parlimen sebaik sahaja Najib selesai membentangkan Bajet 2016.

Bahkan katanya, Perdana Menteri sendiri mengakui kebergantungan dan keuntungan negara adalah hasil dari pendapatan GST iaitu melebihi RM30 bilion yang dikutip kerajaan.

"Jadi sebenarnya apa yang dinikmati oleh rakyat pada hari ini sama ada BRIM atau bantuan wang persekolahan adalah hasil kutipan cukai rakyat.

"Duit rakyat yang dipusing oleh kerajaan dan dikembalikan kepada rakyat," katanya.

Beliau turut terkilan apabila bajet untuk Kementerian Wanita tidak banyak perbezaan dari tahun lepas.

Katanya, kementerian itu perlu diberi satu kekuatan memandangkan suri rumah antara yang menanggung kos hidup sangat tinggi.

"Sepatutnya satu inisiatif wajar dilaksanakan untuk menampung mereka di saat pendapatan yang rendah dan nilai ringgit yang tidak stabil," katanya.

Justeru katanya, kerajaan tidak perlu berbangga dengan pendapatan yang banyak yang mana hasilnya daripada rakyat melalui kutipan GST. - HARAKAHDAILY 23/10/2015

Share on Myspace