Bajet 2016 bukan penyelesaian ekonomi rakyat

MUHAMMAD FAIZAL | FOTO WAN ZAHARI | .

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bukit Gantang, Ustaz Idris Ahmad menyifatkan Bajet 2016 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bukan penyelesaian kepada ekonomi rakyat.

Beliau ketika ditemui di lobi Parlimen berkata, isu utama membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) turut tidak disentuh dalam bajet tersebut.

"Bajet yang tiada jalan penyelesaian, terutamanya isu 1MDB kerajaan gagal menyatakan cara untuk menyelesaikan keseluruhan hutang-hutang.

"Walaupun isu ini menjadi perbahasan semua pihak sama ada di dalam atau lur negara tetapi Najib tidak mahu menyentuh langsung dalam bajet 2016," katanya.

Naib Presiden PAS itu juga menekankan isu pengangguran turut tidak menjadi fokus utama kerajaan dalam mengatasi masalah tidak mendapat pekerjaan dalam kalangan siswazah.

"Kenaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) hanya RM50 sahaja dan ia hanya untuk popular dari sudut politik semata-mata sedangkan dari sudut menjana ekonomi rakyat gagal, BR1M hanya penyelesaian jangka pendek.

"Kerajaan perlu memikirkan penyelesaian jangka panjang dengan mewujudkan pelbagai skim dalam membantu rakyat sebagai contoh Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM)," katanya lagi.

Idris yang tidak menolak dengan menjadikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebagai sumber pendapatan utama negara akan mengakibatkan berlakunya inflasi jika kerajaan gagal mengekang kenaikan harga tol, minyak mahupun barangan keperluan.

Najib ketika membentangkan Bajet 2016 mengumumkan peruntukan RM267.2 bilion  berbanding peruntukan dipinda tahun lepas hanya RM260.7 bilion.

Bajet kali ini menggariskan lima tunjang utama iaitu memperteguh ketahanan ekonomi negara, meningkatkan produktiviti, inovasi dan teknologi hijau, mempersiaga modal insan, memperkasa agenda bumiputera dan meringankan kos sara hidup rakyat. - HARAKAHDAILY 24/10/2015

Share on Myspace