Bajet 2016: Gali lubang timbus lubang

DR AZMAN IBRAHIM | .

Semasa pembentangan Bajet 2016 semalam, saya berada di Putrajaya untuk menghadiri program kuliah yang telah disusun sebelum ini di Presint 9. Bukannya datang Putrajaya untuk nak jumpa PM. Biasanya ketika pembentangan Bajet pada tahun-tahun yang lepas, saya ada di kampung melihat dan mendengar reaksi orang kampung. Kali ini agak menarik sebab saya berpeluang mendengar dan mendapatkan reaksi dari penghuni penempatan di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

Pandangan pertama yang saya nampak, tak ada keghairahan dari orang-orang di sini untuk nak mengikuti siaran langsung pembentangan bajet walaupun PM menyusun bait-bait ucapan dengan penuh slogan serta bait-bait bahasa bernada puitis dan kritis. Pemandangan di sebuah kafeteria, pengunjung buat-buat tak tahu saja PM dengan baju melayu ungu sedang beraksi di kaca TV. Saya sekadar bergurau dengan suara sikit tinggi, “Eh! Ada bajet petang ni…” Seorang dari yang sedang makan menyampuk, “bajet gali lubang timbus lubang!”

Bajet gali lubang timbus lubang! Suatu istilah yang agak menarik dan penuh makna tersirat. Biasa kita dengar istilah bajet gula-gula atau bajet pilihan raya. Kalau kita gali satu lubang, kemudian kita timbus kemudian gali lagi satu lubang lain, kemudian timbus semula, maka walau peluh menitik menandakan kita dah lelah bekerja tetapi hasilnya tak ada apa-apa.  Kalau gali lubang untuk menanam sesuatu yang boleh dinikmati hasilnya oleh anak cucu kelak, itu sudah dikira berhasil. Kita lebih bimbang kalau gali lubang untuk timbus bangkai busuk.

Biasanya ucapan bajet adalah sesuatu yang ditunggu-tunggu oleh rakyat. Tapi entah mengapa sejak beberapa tahun kebelakangan ini ianya menjadi hambar. Khususnya ketika era Najib berdiri sebagai Menteri Kewangan. Walau segala jentera dan media milik kerajaan sudah berusaha dengan semaksimun untuk mengambarkan kehebatan pasukan pimpinan Najib mengemukakan satu bajet yang sangat prihatin dan bakal mensejahterakan rakyat, ternyata rakyat tak mampu dibohongi lagi.

Hari ini saya balik kampung. “Guano bajet kelmarin? Ada apa-apa bahagian kita? Harap semua sejahtera belaka pagi ni.” Saya menyapa beberapa orang pengunjung yang sedang minum di sebuah kedai kopi di Jabi. “Sejahtera sokmo kito doktor. Lepas makan nasik berlauk sepinggan, masuk kebun nnoreh. Harga getah duduk lagu tu jugok.” Satu jawapan spontan ringkas yang memberikan gambaran mudah bahawa orang-orang kampung tak mengharapkan apa-apa bahagian untuk mereka dari bajet baru. Mungkin lantaran mereka dah selalu berharap tapi akhirnya tertiarap. Walau bagaimana pun kehidupan tetap diteruskan.

Seimbas lalu saya dengar kelmarin, PM berkali-kali mengulangi ungkapan, “Selepas mendapatkan maklum balas yang baik dari segenap lapisan rakyat, maka kita memutuskan untuk meneruskan…” Seorang kawan yang merupakan kakitangan awam gred 44 di sebuah jabatan kerajaan Putrajaya memberikan komentarnya, “Maklum balas dari siapa yang dia dapat? Dari orang sekeliling dia yang suka mengampu dan memberikan selalu laporan bahawa semua beres bos!”

Nak mensejahterakan rakyat, kita perlu dengar rintihan rakyat dari peringkat yang paling bawah. Slogan dan bahasa puitis tak akan mampu mengenyangkan mereka. Anak-anak orang kampung tak akan dapat beli uniform sekolah berbekalkan komentar penuh ampu ahli-ahli akademik yang mengulas bajet. Mereka boleh ulas itu dan ini kerana setiap bulan belasan ribu gaji dan elaun yang diterima. Kereta kerajaan sedia, petrol percuma, ada pemandu dan macam-macam lagi kemudahan di depan mata. Kalaulah maklum balas dari kelompok ini yang Najib dengar maka kesian seribu kali kesian kepada rakyat.

Rakyat awam kehidupan mereka simple dan mudah. Tanggungan bulanan mereka petrol, elektrik, barangan keperluan asas makanan dan pakaian, belanja pengajian anak-anak, hospital serta beberapa perkara lagi perlu diseimbangkan dengan pendapatan mereka. Diseimbangkan dengan harga getah dan sawit. Pendapatan mereka pula tak ada tangga kenaikan gaji dan tak ada bonus tahunan.

Walau PM sebut dalam pembentangan bajet kelmarin bahawa rakyat miskin tegar dalam negara mencapai tahap 0%, saya tak terkesima. Sebagai Ketua Kebajikan PAS Terengganu, sudah banyak tempat yang saya jelajahi. Saya boleh tunjukkan kepada PM di mana lokasi rumah rakyat miskin tegar dalam masyarakat. Walau kita tahu pasti mereka akan kata, “kerajaan dah sediakan macam-macam kemudahan, itu salah orang miskin kerana tak nak berusaha!” Sekadar PM tengok di sekeliling Seri Perdana, memanglah tak ada orang miskin tegar. - HARAKAHDAILY 24/10/2015

Penulis ialah Ketua Kebajikan PAS Terengganu

Share on Myspace