Adakah Bajet 2016 khas untuk pilihan raya Sarawak?

JOFRI JARAIEE | .

Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan telah membentangkan Bajet 2016 pada 23 Oktober 2015 di Parlimen dengan tema “Mensejahtera Kehidupan Rakyat”.
 
Bajet 2016 mencadangkan untuk memperuntukkan sebanyak 29.2 bilion ringgit untuk pembangunan di Sabah dan Sarawak dengan beberapa peruntukan tambahan seperti pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo (LPB) yang bebas tol sepanjang 1,090 km dijangka siap sepenuhnya pada 2021 dengan peruntukan RM16.1 bilion.
 
Antara lain ialah perkhidmatan kelas ekonomi udara domestik dikecuali daripada GST, satu program baru, 70 juta ringgit disediakan melalui Bank Simpanan Nasional bagi pinjaman tanpa faedah untuk tujuan membina rumah-rumah panjang dengan had pinjaman 50 ribu ringgit untuk setiap unit di rumah panjang, 70 juta ringgit sebagai subsidi baja padi huma disediakan untuk meningkatkan bekalan  makanan dan pendapatan penanam padi.
 
Walaupun ianya nampak baik untuk penduduk di luar bandar tetapi ianya lebih pada peruntukan untuk menggula-gulakan penduduk luar bandar yang masih lagi terpinggir dari arus pembangunan di Sarawak. Ini seolah-olah bajet untuk Pilihan Raya Negeri Sarawak yang akan diadakan pada awal tahun 2016.
 
Pada bajet 2015 yang lalu Kementerian Kewangan berjanji untuk terus komited menyedia dan menaiktaraf kemudahan  dan infrastruktur luar bandar di Sabah dan Sarawak. Sejumlah 4.5 billion ringgit diperuntukkan pada Bajet 2015 yang lalu terutamanya di Sabah dan Sarawak bagi melaksanakan program berikut.

Di antaranya peruntukan yang masih lagi belum dilaksanakan sepenuhnya ialah:
 
- projek jalan luar bandar sepanjang 635 kilometer termasuk bekas jalan-jalan balak di Sabah dan Sarawak dengan peruntukan sebanyak 943 juta ringgit

- melaksanakan program penyambungan bekalan elektrik kepada lebih 15 ribu buah rumah dengan peruntukan sebanyak 1.1 bilion ringgit

- Program bekalan air bersih luar bandar kepada 7,500 buah rumah dengan peruntukan sebanyak 394 juta ringgit

- program membina dan membaik pulih rumah usang melibatkan 9,500 buah rumah dengan peruntukan sebanyak 200 juta ringgit

- meningkatkan mutu perkhidmatan udara luar bandar di Sabah dan Sarawak melalui penyelenggaraan dan sewaan pesawat baru dengan peruntukan sebanyak 160 juta ringgit

- melaksanakan program pembangunan ekonomi,kemudahan infrastruktur dan penambahbaikan taraf hidup masyarakat orang asli dengan peruntukan sebanyak 352 juta ringgit dan

- menambah 10 batang tiang lampu menjadikannya 20 batang tiang lampu di setiap kampung di seluruh negara yang melibatkan lebih 22 ribu kampung dengan peruntukan sebanyak 26 juta ringgit. Ini menjadikan jumlah keseluruhan 56 juta ringgit bagi menyediakan lampu jalan kampung.
 
Persoalannya sekarang adakah pihak Audit Negara telah membuat laporan tentang perbelanjaan keatas peruntukan tersebut sampai kepada sasarannya. Bagaimana dengan tindakan ke atas mereka yang menyalahgunakan peruntukan yang dilaporkan oleh Audit Negara sebelum ini. Apa tindakan yang diambil oleh pihak kerajaan ke atas mereka ini?
 
Kita dapati masih lagi terdapat kampung-kampung dan rumah-rumah panjang di Sarawak yang masih lagi ketinggalan dari segi infrastruktur dan jalan perhubungan pun masih teruk. Banyak lagi jalan yang belum dibaik pulih atau diturap sepenuhnya terutama di kawasan luar bandar.
 
Kita ingin tahu sama ada bajet dan peruntukan yang telah disalurkan untuk Sarawak seperti yang tersebut diatas telah digunakan sepenuhnya atau masih ada lagi baki yang masih belum digunakan untuk projek tersebut.
 
Kita menggesa pihak kerajaan mengeluarkan laporan Audit Negara khususnya peruntukan yang telah diluluskan untuk Sarawak sama ada telah digunakan sepenuhnya atau sebaliknya supaya setiap peruntukan tahunan dapat disalurkan kepada golongan sasaran untuk mengelak sebarang ketirisan dan penyalahgunaan peruntukan.
 
Kita tidak mahu peruntukan yang sedia ada digunakan untuk tujuan memacing undi semata-mata ketika hampir pilihan raya umum. Hak-hak rakyat perlu diberi kepada semua tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik supaya hasrat kerajaan untuk mensejahtera kehidupan rakyat mencapai kejayaan. - HARAKAHDAILY 24/10/2016

Penulis ialah Pesuruhjaya PAS Sarawak.

Share on Myspace