Baiah bukanlah pencetus masalah

NIK NASRI NIK MALEK | .

KEMAMAN: "Baiah bukanlah pencetus masalah. Ia dibuat bagi mengukuhkan perjuangan PAS. Apatah lagi jika seorang calon yang bakal bertanding menang dan kemudiannya boleh mengkhianati perjuangan," Setiausaha Majlis Syura Ulamak, Datuk Nik Muhammad Zawawi Salleh.

Justeru, katanya baiah dibuat supaya perjuangan dapat diteruskan.

Lagipun, jelas beliau ia adalah syarie iaitu mematuhi syariat.

"Baiah disebut dalam al-Quran dan as-Sunnah serta berlaku dalam sirah hidup Nabi SAW bagi menegakkan Islam," katanya yang juga AJK PAS Pusat.

Beliau menegaskan demikian dalam kuliah Maghrib di Surau Kg Jaya, Chukai anjuran Urusan Ulama PAS kawasan sempena Sambutan 55 Tahun PAS Kemaman, kelmarin.

Beliau juga menelusuri sirah perjalanan para nabi dan rasul yang berjuang menegakkan Islam di zaman masing-masing yang bertembung dengan kaum sendiri.

Menurutnya, apabila bertembung di antara logik akal dan syarak serta nas, maka mestilah didahulukan nas dan syarak, bukannya logik akal.

Beliau mengambil contoh Nabi Nuh yang diperintah oleh Allah membina bahtera di atas bukit, Nabi Musa yang berdepan dengan Firaun dan kerajaannya yang sangat besar dan zalim, Nabi Ibrahim yang diperintah meninggalkan Ismail di padang pasir kering kontang, dan Nabi SAW yang berhijrah dan berperang di Badar dengan kekuatan yang tidak seimbang.

Surau yang dapat memuatkan ahli jemaah 500 orang itu menyaksikan kehadiran pada malam tersebut melimpah ke luar surau. - HARAKAHDAILY 25/10/2015

Share on Myspace