6 langkah segera atasi kenaikan harga rumah

SALKUKHAIRI ABD SUKOR | .

DEWASA ini, kenaikan harga rumah begitu membimbangkan kita. Justeru, HartaGuam ingin mencadangkan beberapa pendekatan kepada kerajaan untuk mengatasi masalah tersebut. Antara cadangan tersebut termasuklah:-

1. Kerajaan dicadangkan supaya menggubal undang-undang khusus untuk kuatkuasakan harga siling rumah mengikut kategori kawasan. Pemaju tidak boleh jual melebihi harga siling yang telah ditetapkan. Jika pemaju jual dengan harga melepasi harga siling yang ditetapkan, mereka boleh didakwa.

2. Kerajaan hendaklah menyekat aktiviti spekulator hartanah yang boleh mempengaruhi harga pasaran hartanah.  Misalnya hapuskan aktiviti kelab pelabur hartanah yang beli hartanah secara pukal daripada pemaju dengan harga diskaun 20 -30% dan menjualnya kepada para pembeli dengan harga pasaran semasa.

3. Kerajaan disarankan agar menyelaraskan kaedah penilaian sesuatu hartanah mengikut kaedah khusus yang ditetapkan oleh kerajaan. Ini untuk mengelakkan penilai menetapkan harga rumah yang tinggi dan berbeza-beza mengikut budi bicara masing-masing semata-mata.

4. Kerajaan hendaklah memberi peluang kepada kontraktor kecil yang berpengalaman dan mempunyai rekod prestasi yang baik untuk bina rumah dan jual kepada mereka yang belum mempunyai rumah. Kerajaan juga hendaklah mempermudahkan syarat-syarat perlesenan kepada kontraktor tersebut. Ini untuk mengelakkan pendominasian pemaju-pemaju besar yang mana mereka ini mempunyai kuasa dalam menentukan harga rumah.

5. Kerajaan disarankan supaya mengenakan cukai yang tinggi kepada pembeli rumah yang telah mempunyai rumah lebih daripada dua buah dan beri peluang kepada mereka yang  belum mempunyai rumah untuk beli rumah dengan insentif dan kemudahan pembiayaan khusus.

6. Kerajaan hendaklah mengkaji semula dan perketatkan syarat-syarat pembelian rumah bagi warga asing. Ini untuk mengelakkan permintaan rumah yang tinggi di kalangan warga asing yang menyebabkan pemaju menaikkan harga rumah kerana ada permintaan yang tinggi daripada mereka. – HARAKAHDAILY 26/10/2015

Penulis ialah Presiden Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam)

Share on Myspace