Dasar kementerian jangan bebankan guru

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bukit Gantang, Idris Ahmad meminta agar Kementerian Pendidikan tidak membebani guru dengan dasar-dasar yang baru setiap kali ada pertukaran menteri.

Beliau ketika mencelah soalan tambahan berkata setiap kali adanya pertukaran menteri akan ada dasar baru diperkenalkan dan ini akan menyukarkan guru untuk melaksanakan tugas mereka.

"Walaupun skim yang diperkenalkan kementerian terhadap guru amat baik tetapi ia tidak dapat memberi kepuasan kepada mereka untuk menjalankan tugas.

"Hal ini kerana setiap kali berlakunya pertukaran menteri, maka akan ada polisi atau dasar baru diperkenalkan, kenapa ini yang sentiasa berlaku dan ia akan membebankan guru untuk melaksanakan tugas," soal beliau di parlimen pagi ini.

Naib Presiden PAS itu juga meminta agar kerajaan memperkenalkan satu piawaian standard agar setiap polisi yang diperkenalkan perlu dikekalkan untuk suatu tempoh sama ada lima atau 10 tahun.

Sebelum itu Ahli Parlimen Sabak Bernam, meminta Menteri Pendidikan menyatakan langkah Kerajaan bagi mengurangkan bebanan kerja luar hakiki bagi lebih 500,000 guru supaya tugasan hakiki sebagai pendidik tidak terjejas.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid ketika menjawap pertanyaan Idris berkata, beliau akan meneruskan segala dasar yang telah dilaksanakan sebelum ini bagi memastikan tiada bebanan yang dihadapi oleh guru-guru, sebaliknya jika ada perubahan adalah sebagai penambahbaikan kepada dasar tersebut. – HARAKAHDAILY 26/10/2015

Share on Myspace