Bajet 2016: Dapat RM100, belanja RM120

SYAHIR SULAIMAN | .

"Dan janganlah engkau jadikan tanganmu terbelenggu di lehermu (bakhil), dan janganlah pula engkau menghulurkannya dengan sehabis-habisnya (boros), kerana akibatnya akan tinggal lah engkau dengan keadaan yang tercela serta kering keputusan. Sesungguhnya Tuhanmu lah yang meluaskan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Dia juga yang menyempitkannya; Sesungguhnya Dia Maha Mendalam pengetahuan-Nya, lagi Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya.” (Al-Isra’: 29-30)

Defisit fiskal

Sebagai permulaan kepada tempoh RMK11 (2016-2020) yang bertemakan ‘Pembangunan Berpaksikan Rakyat’, Perdana Menteri telah membentangkan sebuah bajet yang lebih besar dengan tema ‘Mensejahtera Kehidupan Rakyat’.

Bagi tahun 2016, Kerajaan Persekutuan mengunjurkan pendapatan RM225 bilion dengan anggaran perbelanjaan RM267b; peruntukan RM215b untuk mengurus (81%) dan RM52b untuk pembangunan (19%), suatu nisbah 80:20 yang tidak mampan untuk sebuah negara yang berhasrat mahu mencapai status negara maju 2020.

Natijahnya, kerajaan dijangka akan menanggung defisit sekitar RM38b (3.1% KDNK) dan situasi ini telah berlarutan sejak tahun 1998 (tahun ke-19), mengakibatkan kerajaan tiada lebihan atau simpanan, dan terpaksa bergantung kepada hutang yang telah mencecah 54% KDNK.

Selagimana kerajaan terus berpegang pada prinsip bajet yang “membelanjakan RM120 daripada setiap RM100 yang diperoleh,” selagi itulah Malaysia akan terperangkap di dalam kitaran defisit dan hutang yang sama.

Defisit keyakinan

Kerajaan mengambil jalan mudah bagi menampung defisit ini, iaitu dengan melebarkan jaringan cukai (cukai pendapatan, GST) dan mengurangkan pemberian subsidi (petrol, pampasan tol), yang mengakibatkan poket dan simpanan rakyat semakin menipis.

GST menjadi senjata utama kerajaan, atau dalam erti kata lain, poket rakyat menjadi mangsa utama. Bagi setiap perbelanjaan rakyat – tanpa mengira kaya atau miskin, sejumlah 6% dari nilai transaksi akan diserahkan kepada Putrajaya untuk dibelanjakan.

Menariknya, unjuran hasil GST bagi tahun 2016 adalah sebanyak RM39b (2015: RM27b), suatu jumlah yang sangat besar dan berkebetulan hampir sama nilai dengan jumlah defisit Bajet 2016 iaitu RM38b. Perkiraan mudah, jika kerajaan berbelanja dengan berhemah tanpa defisit, maka rakyat tidak perlu dibebankan dengan GST, namun realiti adalah sebaliknya.

Perbelanjaan subsidi, termasuk bantuan dan insentif, dijangka berkurangan kepada RM26b bagi tahun 2016, disebabkan pembayaran subsidi yang lebih rendah berikutan pelaksanaan mekanisma pengapungan terkawal harga petrol RON95 dan diesel.

Menariknya, kerajaan meluluskan kenaikan kadar tol untuk mengelakkan pembayaran pampasan ratusan juta ringgit kepada syarikat konsesi lebuh raya, dan pengumuman ini dibuat seminggu lebih awal daripada pembentangan bajet, supaya kemarahan rakyat dapat dilupakan dengan segala bentuk pemberian di dalam bajet 2016 yang bertujuan untuk ‘mensejahterakan’ rakyat.

Kegagalan kerajaan menunjukkan komitmen untuk menangani skandal yang melanda 1MDB, khususnya berkenaan hasil siasatan PAC, Bank Negara dan SPRM terhadap transaksi pelaburan 1MDB di dalam dan luar negara serta penerimaan derma RM2.6b oleh Perdana Menteri, terus menghakis keyakinan rakyat dan pelabur kepada kerajaan, menyebabkan Malaysia terus berdepan dengan situasi defisit berkembar - defisit-fiskal (fiscal deficit) dan defisit-keyakinan (trust deficit).

Disiplin fiskal

Kerajaan cuba meyakinkan rakyat bahawa Malaysia tidak akan terjerumus ke lembah kemelesetan ekonomi. Namun, lanskap ekonomi global yang tidak menentu serta kejatuhan harga minyak (-45% y-o-y) dan nilai ringgit (-25% y-o-y) dijangka akan merencatkan pertumbuhan ekonomi negara. Kadar pengangguran juga dijangka terus meningkat, ditambah pula dengan tren pemberhentian pekerja dalam sektor minyak dan gas, perkilangan, perbankan, dan perkhidmatan. Kesempitan fiskal dan hutang kerajaan yang tinggi akan menyukarkan usaha kerajaan untuk mengimbangi risiko kemelesetan ekonomi domestik dalam masa terdekat.

Di sebalik angka berbilion ini, Bajet 2016 memperlihatkan tiada mekanisma baru diambil oleh kerajaan bagi meningkatkan tahap integriti, disiplin fiskal dan langkah penjimatan secara optima, malah masih terdedah kepada elemen salah urustadbir yang sering dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara, di samping kemungkinan pembentangan bajet tambahan setiap tahun.

Melihat kepada corak belanjawan ini - pemberian BRIM dalam keadaan GST diperluaskan dan subsidi dikurangkan; dapat disimpulkan bahawa kerajaan terpaksa mengambil tempoh dua tahun bagi mengurus persepsi dan kritikan rakyat, demi mempertahankan survival politik dalam PRU14 nanti.

Inilah sebuah bajet yang menyenangkan kerajaan, tetapi tidak menyenangkan rakyat. – HARAKAHDAILY 26/10/2015

Penulis, Pengarah Strategi DPPM

Share on Myspace