Bajet 2016: Ini puncanya kerajaan laksana GST

ZAHARUDIN MUHAMAD | .

SAYA dan group PPP yang diketuai oleh Dr Zuhdi akan cuba merungkai permasalahan dasar perbajetan negara dari segi sumber dan agihan dan apa cadangan dan alternatif PAS kepada rakyat dan negara. Tulisan ini akan bagi mukadimah awal tentang permasalah sumber negara atau sumber kepada bajet itu sendiri.

Sebagai intro awal, antara masalah yang ditimbulkan dalam pembentangan bajet pada tahun ini ialah kelemahan sumber akibat kejatuhan minyak antarabangsa. Fakta ini seterusnya menjadi alasan kepada kerajaan untuk mewajarkan kutipan GST.

PM dipetik sebagai berkata: "Jika dihalusi lagi, kalaulah kita kekal dengan SST, kutipan hanyalah sekadar 18 bilion ringgit berbanding GST iaitu sebanyak 39 bilion ringgit”.

Beliau berkata lagi: "Harga minyak ini pula, dijangka akan kekal rendah pada 2016, dan kutipan hasil daripada sumber berkaitan minyak dianggar 31.7 bilion ringgit, atau penyusutan pendapatan Kerajaan lebih 30 bilion ringgit. Tetapi, disebabkan oleh kekurangan kutipan hasil petroleum, kutipan GST-lah yang terpaksa menjadi tampungan sebahagian besar daripadanya."

Saya berpandangan bahawa, kenaikan kutipan GST bukan sesuatu yang gembira jika diihat dilihat dari dua sudut, kesan kerajaan dan kesan kepada rakyat. Peningkatan perolehan kerajaan dalam belanjawan kali ini dikatakan meningkat adalah positif dari satu sudut tetapi negatif dari sudut yang lain. Positif dari segi pendapatan kerajaan yang meningkat tetapi negatif dari segi kuasa beli rakyat semakin lemah serta pendapatan boleh guna (disposable income) yang semakin menguncup.

Ia sama seperti seseorang yang menfokuskan peluang pekerjaan sebagai [email protected] keselamatan (security guard) yang semakin meningkat dari satu sudut positif penyediaan peluang pekerjaan, tetapi dari sudut negatif pula ia menggambarkan jenayah yang semakin meningkat.

Oleh itu, sesuatu perkara tidak boleh dilihat hanya sebelah sudut positif sahaja, tetapi ia juga perlu dilihat dari sudut yang negatif. Seterusnya kedua-dua sudut itu perlu diimbang mana yang lebih besar kesannya.

Dari segi kami yang beriman, besar atau kecil kesan bukan diukur dengan akal, tetapi apabila ia diharamkan oleh Islam, maka sepastinya sudut negatifnya lebih besar sekalipun akal kita tidak dapat melihat sudut tersebut.

Dari segi muamalat Islam antara rakyat dan kerajaan, kedua-duanya mestilah mendapat manfaat. Sama macam transaksi jual beli. Semakin banyak pembuat menjual barang dari satu sudut, maka semakin banyak pembeli mendapat barang dari sudut yang lain. Kedua-dua sudut adalah positif.

Sama juga dengan sistem cukai Islam, bertambahnya cukai menunjukkan bertambahnya pendapatan rakyat justeru cukai Islam dikira pada hujung pendapatan dan hujung perniagaan yang diambil daripada lebihan pendapatan. Apabila semakin banyak dikutip, maka semakin banyak pula ia akan diagihkan kepada orang miskin. Maka bacaaan dalam sistem Islam akan positif dari segala sudut.

Tetapi sistem hari ini, jika positif dari satu sudut, maka ia tidak semestinya positif dari sudut pandang yang lain. Dari satu sudut, semakin banyak cukai GST yang dikutip oleh kerajaan tidak bermakna positif untuk rakyat kerana dari sudut lain menunjukkan semakin banyak wang rakyat diambil seterusnya memberikan kesan negatif seperti hilangnya kuasa beli dan kuasa modal. Bahkan lebih parah, rakyat terpaksa berhutang untuk membayar cukai kepada kerajaan. Di sini bezanya Islam dan konvensional dari segi sudut pandang percukaian.

Masalah dalam sistem percukaian sekarang, cukai dikenakan bukan atas lebihan atau keuntungan, bahkan sebaliknya dikenakan ke atas transaksi yang majoritinya melibatkan orang miskin. Manakala keuntungan orang kaya, banyak sudut yang tidak dikenakan cukai. Sudut tersebut Insya-Allah akan dibahaskan oleh MP-MP PAS dalam masa terdekat.

Saya melihat PM membawa rakyat berfikiran sempit apabila hanya berfikir seolah-olah pendapatan negara perlu ditingkatkan hanya melalui dua pilihan, petroleum atau GST. Sedangkan di sana banyak alternatif khususnya apabila kita melihat perkara yang dikenakan cukai dalam Islam tetapi tidak dikenakan cukai di dalam sistem konvensional.

Apakah cukai yang dikenakan di dalam Islam yang tidak dikenakan di dalam sistem konvensional? Tunggu MP kita bahas dan cadang dalam parlimen. Semoga perbahasan di parlimen lebih matang dan lebih berhemah, bukan bergaduh macam kedai kopi dengan provokasi dan cuba halang-menghalang perwakilan rakyat bercakap dan mengemukakan idea mereka.

Sama-sama tunggu dan lihat. – HARAKAHDAILY 26/10/2015

Penulis ialah Timbalan Pengarah PPP dan juga AJK PAS Pusat.

Share on Myspace