Bukan bermakna PAC tidak boleh cakap isu 1MDB

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kota Bharu Datuk Takiyuddin Hassan yang baru dilantik menganggotai Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) bersetuju setiap ahli jawatankuasa itu mengangkat sumpah.

Bagaimanapun katanya, peraturan itu bukan bermakna anggota PAC langsung tidak boleh bercakap tentang 1MDB.

"Ada perkara melibatkan subjek 'metal' yang disiasat perlu didedahkan kepada rakyat tetapi ada tahap-tahapnya," katanya kepada Harakahdaily ketika ditemui di lobi Parlimen.

Katanya, peraturan ini turut dilakukan untuk jawatan-jawatan penting seperti menteri, Menteri Besar dan Exco kerajaan negeri sebagai sumpah kerahsiaan.

"Yang paling penting kerahsiaan perkara yang perlu dirahsiakan demi kepentingan negara.

"Menjadi tanggungjawab ahli PAC untuk mereka agar tidak terlalu terbuka dan mendedahkan kerahsiaan. Ini satu tanggungjawab yang besar kepada ahli PAC termasuk saya," katanya yang juga Ketua Whip Ahli Parlimen PAS.

Baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan agar setiap anggota PAC yang baru dilantik dikehendaki mengangkat sumpah kerahsiaan. - HARAKAHDAILY 26/10/2015

Share on Myspace