Kes Khairuddin dan Chang dipindah ke mahkamah tinggi

BERNAMA | .

KUALA LUMPUR: Kes bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguam Matthias Chang Wen Chieh yang menghadapi pertuduhan cuba melakukan sabotaj terhadap perkhidmatan perbankan dan kewangan negara, hari ini dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di sini.

Majistret Siti Radzeah Kamarudin membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Masri Mohd Daud ketika kes disebut di hadapannya Isnin.

Terdahulu Masri mengemukakan surat izin pihak pendakwa raya kepada mahkamah bagi kes Khairuddin dan Chang dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Peguam Mohamed Hanif Khatri Abdulla yang mewakili kedua-dua tertuduh tidak membantah permohonan itu, bagaimanapun beliau memohon Mahkamah Tinggi menyebut kes itu hari ini bagi membolehkannya mengemukakan isu jaminan terhadap anak guamnya.

Siti Radzeah memaklumkan tarikh sebutan kes itu akan ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi.

Khairuddin, 53, dan Chang, 65, kedua-duanya memakai kemeja T putih, melemparkan senyuman sambil melambaikan tangan kepada anggota keluarga sejurus memasuki mahkamah.

Isteri Khairuddin, pelakon Datin Seri Umie Aida juga hadir.

Khairuddin dan Chang didakwa melakukan kesalahan itu di lima lokasi - pejabat Ketua Bahagian Jenayah Ekonomi dan Kewangan Perancis di Paris, Balai Polis Charing Cross London, United Kingdom, pejabat Peguam Negara Switzerland di Bern, Balai Polis WaiChan, Hong Kong, dan ibu pejabat polis Cantoment, Singapura - antara 28 Jun hingga 26 Ogos tahun ini.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 124L Kanun Keseksaan (Akta 547) dan dibaca bersama-sama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun.

Pada 19 Okt lepas Mahkamah Tinggi merujuk kes Khairuddin dan Chang ke Mahkamah Persekutuan bagi menentukan sama ada pertuduhan yang mereka hadapi boleh dibicarakan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) Akta 2012 (SOSMA).

Mahkamah tertinggi negara itu akan memutuskan tiga persoalan undang-undang iaitu adakah pertuduhan terhadap tertuduh mengikut Seksyen 124L Kanun Keseksaan, di luar lingkungan perlembagaan SOSMA?

Jika jawapan kepada persoalan pertama adalah ya, adakah tertuduh mempunyai hak untuk dibebaskan dengan ikat jamin dengan serta-merta?

Jika jawapan kepada persoalan pertama adalah tidak, haruskah perbicaraan terhadap kedua-dua tertuduh dijalankan di Mahkamah Sesyen mengambil kira peruntukan hukuman tertakluk di bawah Seksyen 124L Kanun Keseksaan?

Mahkamah Persekutuan menetapkan 3 Nov ini untuk mendengar perkara itu. - Bernama

Share on Myspace