Vaksin ada bahan berbahaya ancam kesihatan, nyawa

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Hulu Langat, Dr Che Rosli Che Mat meminta Menteri Kesihatan menyatakan sama ada benar atau tidak wujudnya Gerakan Antivaksin.

Ini kerana katanya, gerakan itu telah mempersoalkan status halal vaksin  khususnya kepada bayi yang baru lahir.

"Antara hujah Gerakan Antivaksin yang wujud di media sosial adalah berhubung status halal sesuatu vaksin bagi orang beragama Islam serta program imunisasi bertujuan melemahkan umat Islam dengan mengandungi bahan haram," katanya.

Di dalam soalan tambahannya, Che Rosli berkata, amalan perubatan homeopati dan tradisional yang dipercayai lebih selamat dan lebih berkesan, tetapi vaksin yang mengandungi bahan berbahaya boleh mengancam kesihatan dan nyawa.

Katanya, gerakan ini juga menyuarakan kerisauan mereka terhadap kesan sampingan vaksin, dan menyatakan tiada lagi penyakit berjangkit yang boleh dicegah melalui vaksinasi serta pengaruh sosial media tentang keburukan vaksin.

"Sejauh mana kebenaran ibu bapa muda yang menolak pemberian vaksin kepada anak mereka sejak bayi," katanya.

Menjawab soalan tambahan itu, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahya berkata, orang ramai tidak perlu khuatir kerana tiada vaksin yang diberikan kepada bayi baharu lahir mengandungi sebarang asid deoksiribonukleik (DNA) khinzir.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melakukan pemeriksaan menyeluruh terhadap sampel vaksin bagi memastikan tiada sampel yang mengandungi DNA haiwan itu.

"Kita periksa semua sekali vaksin yang diberikan oleh KKM dan memang tak ada langsung DNA khinzir, kita pun faham dan saya tahu tidak boleh bagi, mungkin timbul masalah apabila masyarakat terbaca buku oleh Jerry D Gray, seorang mualaf dan bekas tentera yang menulis tentang perkara ini," katanya di Dewan Rakyat, di sini, hari ini. - HARAKAHDAILY 26/10/2015

Share on Myspace