Kelantan hampiri sasaran bina rumah kekal

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Sehingga 20 Oktober lepas kerajaan negeri sudah membina sebanyak 76.3 peratus rumah kekal mangsa banjir daripada sasaran 600 unit.

Jumlah tersebut termasuk rumah yang sudah siap dibina sebanyak 135, sedang dalam pembinaan (135 unit) dan di peringkat prapembinaan (188).

Manakala projek rumah kekal di bawah kerajaan pusat kemajuannya sehingga tempoh tersebut sebanyak 39.9 peratus daripada sasaran 1,227 unit.

Rumah kekal yang disiapkan di bawah projek persekutuan sebanyak 137 unit, sedang dalam pembinaan (289) dan prapembinaan (64).

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata rumah kekal yang siap dibina badan bukan kerajaan (NGO) pula sebanyak 99 unit.

Katanya, NGO juga sedang menyiapkan 140 lagi, manakala di peringkat pra pembinaan sebanyak 31 unit.

“Rumah kekal mangsa banjir yang berjaya disiapkan kerajaan negeri iaitu di Kuala Krai sebanyak 46 unit, Gua Musang (39), Machang (31), Kota Bharu (5), Tumpat (8), Pasir Mas (2) dan Tanah Merah (4),” katanya di sini.

Agensi pelaksanaan di bawah kerajaan negeri termasuk dana dari Tabung Amanah Bencana Negeri, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik), Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dan dana kerajaan Selangor.

Berdasar bancian fasa pertama rumah yang rosak sepenuhnya akibat bah besar akhir tahun lepas sebanyak 1,827 unit dan fasa kedua pula 879 unit.

Fasa ketiga pula 99 unit membabitkan rumah penduduk Orang Asal di Gua Musang.

Kerajaan juga mengenal pasti beberapa tapak baru bagi menempatkan mangsa-mangsa banjir iaitu Gua Ikan, Dabong seluas 9 ekar yang boleh menampung 90 mangsa.

Kampung Gua Chatok Kampung Machang seluas 8 ekar bagi menempatkan 75 mangsa, Kampung Manjong Ulu Keneteh (7.5 ekar) dan Kampung Prial enam ekar.

Pengambilan tanah yang dilakukan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian meliputi Mukim Kuala Nal (8.5 ekar), tapak Jabatan Pengangkutan Jalan Mukim Kenor (8.7 ekar), lot 2904/B tapak rumah kediaman (0.9 ekar), tapak pajakan Puspakom (0.9 ekar) dan Mukim Kenor (5 ekar).

Manakala tapak baru yang dikenal pasti di Limau Kasturi seluas 13 ekar bagi menempatkan 67 mangsa banjir, di mana rumah akan dibina Maik.

Abdul Fattah juga berkata rumah kekal di Simpang Tiga Kampung Manek Urai yang dibina kerajaan Selangor sebanyak 60 unit kini hampir siap sepenuhnya.

“Sekarang di peringkat penyediaan infstruktur. Manakala 28 rumah kekal di Kampung Pulai Gua Musang sudah siap dibina dan kini penyediaan kemudahan asas dilakukan.

“Begitu juga 11 rumah kekal di Kampung Kolam Mas, Gua Musang juga sudah siap dibina,” ujarnya. - HARAKAHDAILY 26/10/2015

Share on Myspace