Enam tahun menunggu jalan dibaikpulih

JOFRI JARAIEE | .

 

Penduduk Kampung Pujut gotong-royong menutup lubang jalan kebun dengan batu kerikil sumbangan PAS.

Armin menunjukkan aliran anak sungai tersekat.

MIRI: Penduduk Kampung Tradisional Pujut Tanjung Batu telah memohon bantuan kerajaan untuk membaik pulih serta menurap jalan ke kebun mereka sejak 6 tahun yang lalu.  Mereka telah memohon dan menulis surat kepada Kementerian Perancangan dan Pengurusan Sumber, Sarawak bertarikh 30 Disember 2008 lagi sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil.
 
Menurut wakil penduduk kampung Armin Salim, keadaan jalan utama yang rosak teruk menuju ke jalan "Warisan Pekebun Kampung Pujut Padang Kerbau", Miri dan mereka telah berusaha meminta bantuan dengan berbagai cara tetapi permohonan mereka tidak mendapat perhatian dari pihak berkenaan.

Menurut penduduk kampung, ada juga wakil parti daripada pihak kerajaan yang berjanji untuk menolong membaik pulih jalan tersebut tetapi sehingga kini janji tinggal janji.
 
Mereka mengadu masalah ini dengan pihak PAS Miri dan pihak kami telah berusaha untuk meringankan beban mereka dengan menyumbang batu kerikil untuk menutup jalan berlobang yang agak teruk itu.
 
PAS Sarawak mengesa pihak kerajaan agar dapat menggunakan peruntukan bajet 2015 yang lalu untuk projek jalan luar bandar sepanjang 635 kilometer termasuk bekas jalan-jalan balak di Sabah dan Sarawak dengan peruntukan sebanyak 943 juta ringgit untuk membaik pulih jalan pertanian di Kampung Pujut Tanjung Batu.
 
Kami juga ingin tahu mengapa projek-projek jalan kampung yang perlu dibaik pulih dan dimasukkan dalam perancangan 2009 bagi Bahagian Miri tidak dilaksanakan kerana jalan ini telah digunakan oleh seramai 138 para petani yang mengusahakan tanaman masing-masing di kawasan itu sejak sebelum merdeka lagi. Kemana perginya peruntukan projek jalan tersebut digunakan?
 
Mengapa masalah ini terlalu lama untuk diselesaikan dan begitu juga dengan masalah saliran air anak sungai yang tersekat atau tersumbat akibat tumbuhan rumpai yang boleh menyebabkan kawasan tersebut dilanda banjir kilat sekiranya hujan turun berpanjangan.
 
Kami mengesa pihak yang berkenaan turun padang dan boleh melihat sendiri keadaan jalan dan aliran anak sungai yang tersekat itu dan segera dibaik pulih. Kami tidak mahu penduduk di situ terus menanti janji-janji yang tidak ditepati sepanjang tahun walaupun peruntukan bajet 2016 juga ada peruntukan  jutaan ringgit untuk infrastuktur dan jalan-jalan luar bandar di Sarawak.
 
PAS Sarawak juga mengesa kerajaan Sarawak perlu memberi geran tanah kepada penduduk asal di situ kerana disitulah tempat mereka mencari rezeki untuk menyara kehidupan harian mereka sekeluarga.  
 
Pada masa kini tanah untuk penduduk asal untuk membina tempat tinggal dan mengusahakan tanah di sekitar bandaraya Miri semakin mahal dan sukar bagi penduduk kampung untuk memilikinya jika tanah kebun mereka diambil oleh pemaju untuk membina rumah mewah.
 
Pihak kerajaan perlu mewarta tanah penduduk asal Sarawak dari terus diterokai dan dicerobohi oleh pihak luar yang hanya mementingkan keuntungan semata-mata tanpa mempedulikan nasib yang bakal dihadapi oleh penduduk asal yang memiliki tanah dari datuk nenek moyang mereka tapi tidak ada hak milik kekal keatas tanah mereka sendiri.
 
Kerjasama dengan pihak yang berkenaan mengatasi segera masalah jalan dan saliran anak sungai yang tersumbat ini amat dihargai. – HARAKAHDAILY 27/10/2015

Share on Myspace