Bursa sambut dingin Belanjawan 2016

A KADIR JASIN | .

PADA hari Jumaat 23 Oktober, hari Menteri Kewangan merangkap Perdana Menteri, (Datuk Seri Mappadulung Daeng Matti­mung Karaeng Sanrobone) Mohd Najib Abdul Razak membentangkan Belanjawan 2016, Bursa Malaysia naik 0.34 peratus.

Waktu pasaran tutup, butir-butir belanjawan belum diumumkan tapi pasaran naik sebab pelabur mengharapkan sesuatu yang positif daripada Belanjawan.

Pasaran saham adalah penanda aras atau kayu ukur terawal sama ada pelabur yakin atau tidak dengan butir-butir serta janji-janji Belanjawan.

Nampaknya tidak. Apabila Bursa Malaysia diniagakan buat hari pertama selepas Belanjawan pada hari Isnin, 26 Oktober ia jatuh 0.24 peratus.

[Saya pun mahu pasaran saham naik sebab sebahagian simpanan persaraan saya adalah dalam bentuk saham. Hatta KWSP, KWAP, ASB serta banyak lagi tabung pelaburan turut melabur di pasaran saham untuk cari keuntungan. Bila saham merudum, semua menderita.]

Pasaran terus jatuh walaupun pada 14 September lalu, Mohd Najib telah memperuntukkan RM20 bilion kepada tabung permodalan ValueCap untuk membeli saham di Bursa Malaysia.

Dalam bahasa yang mudah, pelabur swasta di Bursa Malaysia tidak mendapati apa-apa yang menarik dan meyakinkan dalam Belanjawan 2016 untuk membeli saham tambahan.

Ini tidaklah memeranjatkan kerana pasaran saham Malaysia telah jatuh merudum sejak lebih setahun kerana pelabur tempatan dan asing telah hilang keyakinan.

Antara 31 Disember tahun lepas dengan 17 Oktober lalu, Bursa Malaysia merudum 20.5 peratus dalam mata wang dolar Amerika dan 4.1 peratus dalam ringgit.

Saya tahu, beberapa kerat anggota kabinet yang berakal macam (Datuk Seri) Abdul Wahid Omar, tahu betapa goyahnya kedudukan politik, ekonomi dan kewangan negara kita sejak meletusnya skandal 1MDB dan SRC International, tetapi mereka tidak berani bersuara dan bertindak kerana sudah diikat dan dikunci. - kadirjasin.blogspot.my

Share on Myspace