PAS bela penghuni rumah FRISB Lurah Bilut

WAN NORDIN WAN YAACOB | .

Razman menyantuni warga rumah bekas kakitangan FRISB yang sampai di Parlimen jam pagi tadi.

Wakil penduduk, Hosman Mat Ali menyampaikan aduan kepada Presiden NGO Generasi, Ustaz Roslan semasa pertemuan di Felda Lurah Bilut 26 Oktober lalu

KUALA LUMPUR: PAS komited membawa dan membela nasib 30 penduduk rumah bekas kakitangan Felda Rubber Industries Sendirian Berhad (FRISB) di Felda Lurah Bilut yang menerima notis pengosongan rumah baru-baru ini.

Menurut Naib Presiden, yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang PAS, Ustaz Idris Ahmad, pihaknya membawa isu itu dalam perbahasan Belanjawan 2016 di Dewan Rakyat pada 27 Oktober selepas pada sebelah paginya sekumpulan 30 penduduk terbabit datang ke Parlimen bagi menyerahkan memorandum rayuan kepada kerajaan dan Ahli-ahli Parlimen PAS.

Bersama penduduk datang ke penyerahan memorandum itu adalah Presiden Pertubuhan Generasi Warisan Kebangsaan (Generasi), Ustaz Roslan Md Esa dan Pengerusi Lajnah Tanah, Peneroka Bandar dan Orang Asal PAS Pusat, Razman Zakaria.

Enam ahli Parlimen PAS menyambut kehadiran rombongan yang rata-ratanya wanita dan warga emas. Mereka adalah, Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyudin Hassan (Setiausaha Agung PAS), Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (Pasir Mas- Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia), Ustaz Nasrudin Hassan (Temerloh- Ketua Penerangan PAS Pusat), Datuk Dr Khairudin Aman Razali (Kuala Nerus- Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat), Dr Che Rosli Che Mat (Hulu Langat) dan Ustaz Marzukh Shaari (Bachok).

Mengulas lanjut Ustaz Idris berkata, kesemua penghuni rumah bekas kakitangan  FRISB sebenarnya tidak menolak pembangunan yang dirancang kerajaan untuk projek Rumah Generasi Kedua Felda.

"Malah mereka ini sangat berjasa kepada Felda sewaktu awal operasi kilang berkenaan di kawasan Felda Lurah Bilut yang merupakan Felda pertama di Malaysia," katanya.

Namun tambahnya, sekiranya kawasan itu dirobohkan untuk tujuan itu,  penduduk mahu jaminan kepada mereka agar rumah yang bakal dibina diberikan keutamaan kepada penduduk asal untuk membeli dan memilikinya.

Pun begitu tambahnya, penduduk amat mengharapkan agar kerja-kerja perobohan yang dijadualkan tidak lama lagi (terkini 28 Oktober membabitkan dua buah rumah) tidak diteruskan.

"Kita menerima aduan ini, dan kami amat bersimpati dengan nasib yang menimpa mereka. Saya akan bahas isu ini dalam perbahasan Bajet 2016 petang ini (petang 27 Oktober), dan saya amat mengharapkan tuntutan penduduk didengari pihak bertanggungjawab," kata Ustaz Idris lagi.

Sementara itu, Presiden NGO Generasi, Ustaz Roslan Md Esa berkata, pihaknya dimaklumkan sejak beberapa minggu lalu oleh penduduk mengenai notis pengosongan rumah yang diberi pihak pengurusan bagi tujuan pembangunan projek rumah generasi kedua Felda.

Kata beliau, ia berikutan satu rancangan menyambut kehadiran Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak ke Felda Lurah Bilut pada hujung November ini untuk merasmikan rumah contoh.

"Kita merayu kepada kerajaan, kita tidak tolak pembangunan, tidak tolak pun pembinaan rumah kedua generasi Felda. Malah kita memang perjuangkan agar rumah generasi kedua ini diperbanyakkan.

"Namun dalam masa yang sama, nasib penghuni asal rumah bekas kakitangan FRISB ini harus diperhatikan dan diselesaikan, sama ada pilihan pertama mengiktiraf rumah mereka sebagai rumah generasi kedua kerana rata-rata penduduk adalah anak generasi kedua Felda.

"Keduanya, penduduk sanggup membayar pada harga semasa rumah berkenaan untuk dinilai. Ketiganya mereka merayu kerajaan menyediakan rumah untuk mereka (membeli) khasnya rumah generasi kedua, dan menangguh sementara perobohan tersebut," katanya lagi. – HARAKAHDAILY 27/10/2015

Dapatkan berita penuh penderitaan dan rayuan penduduk tentang masalah dan masa depan mereka dalam harakah cetak.

Share on Myspace