TMK 2016 rangsang ekonomi Kelantan

RIZAL TAHIR | .

KOTA BHARU: Tahun Melawat Kelantan 2016 dijangka akan merangsang lagi perkembangan ekonomi negeri ini dengan kehadiran lebih ramai pelancong.

Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan negeri, Mejar (B) Datuk Md Anizam Abdul Rahman berkata, kehadiran pelancongan memberi manfaat langsung kepada peniaga di Kelantan.

"Industri pelancongan ini tidak memberi pendapatan secara langsung kepada kerajaan negeri sebaliknya terus kepada rakyat.

"Dari segi pengangkutan, makanan, perkhidmatan dan penginapan ia memberi manfaat ekonomi kepada rakyat," katanya pada sidang media sempena majlis Pelancaran Tahun Melawat Kelantan (TMK) 2016, hari ini.

Bagaimanapun Md Anizam mengingatkan peniaga tidak mengenakan bayaran yang mahal kepada pelancong kerana ia boleh menjejaskan kedatangan pelancong.

"Sambutlah pelancong yang datang dengan ramah mesra dan senyuman," ujarnya.

Beliau juga berkata acara menarik yang akan diadakan tahun hadapan sempena TMK 2016 termasuk Pesta Wau Antarbangsa Kelantan, pertandingan gasing dan beberapa pelbagai lagi.

Sehubungan itu kata beliau majlis pelancaran promosi TMK 2016 akan diadakan 31 Oktober ini dijangka dirasmikan Sultan Muhammad V di Dataran Stadium Sultan Muhammad IV.

Majlis berkenaan bermula jam 8.30 malam dan akan diselitkan pelbagai acara termasuk persembahan Awe Kelate dan dikir barat.

Oleh itu beliau menjemput orang ramai hadir bagi memeriahkan program berkenaan. - HARAKAHDAILY 27/10/2015

Share on Myspace