Samseng: Penyokong bola mungkin disenarai hitam

BERNAMA | .

KUALA LUMPUR: Penyokong bola sepak yang mempunyai rekod gejala samseng berkemungkinan disenarai hitam dari memasuki stadium bagi menonton perlawanan bola sepak.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata perkara itu akan dicadangkan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Kementerian turut mempertimbang supaya penonton menulis nama dan kad pengenalan pada tiket masing-masing bagi memudahkan kerja-kerja mengenal pasti samseng," katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Manivanan Gowindasamy (PKR-Kapar) yang ingin tahu usaha kementerian mengatasi masalah disiplin penyokong bola sepak Harimau Malaya.

Berkenaan punca dan faktor kekalahan skuad Harimau Malaya kepada pasukan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 3 Sept lepas, Khairy berkata kelemahan utama yang dikenal pasti adalah tahap kecergasan kebanyakan pemain ketika itu berada pada tahap rendah.

Ini disebabkan mereka terpaksa mengharungi perlawanan liga yang mempunyai jadual padat serta jadual perlawanan persahabatan antarabangsa, kata Khairy.

"Beberapa pemain utama juga tidak disenaraikan dalam perlawanan tersebut kerana mengalami masalah kecederaan seperti Junior Eldstal dan Joseph Kalang Tie," katanya.

Dalam perlawanan pada aksi ketiga pusingan kelayakan Piala Asia 2019 bulan lepas, pasukan Harimau Malaya tewas 0-10 kepada pasukan UAE.

Tambah Khairy, pihak kementerian juga tidak mempunyai kuasa untuk menentukan proses pemilihan pemain pasukan kebangsaan kerana ia terletak di bawah jurulatih kebangsaan yang dilantik FAM. - Bernama

Share on Myspace