Macam mana penggubal dasar sendiri merokok - Zailah

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Rantau Panjang Siti Zailah Mohd Yusoff menegur ahli parlimen yang masih ramai merokok sedangkan mereka merupakan pembuat dasar-dasar kerajaan termasuk kempen 'Tak Nak Merokok'.

Menurut Zailah, kesan daripada asap rokok mengundang pelbagai penyakit kepada orang di sekelilingnya apa lagi ia melibatkan pelajar.

"Sejauh mana keberkesanan kempen 'Tak Nak Merokok'?

"Malah MP kita pun masih ramai yang hisap rokok. Macam mana penggubal dasar sendiri yang merokok?" soal Zailah ketika mengajukan soalan tambahan kepada Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahya di Dewan Rakyat pagi ini.

Hilmi dalam jawapannya bersetuju dengan Zailah dan sedang berusaha untuk menangani masalah perokok tegar yang melibatkan pelajar-pelajar sekolah.

Malah katanya, pihak kementerian sedang mengesan satu lagi gejala baru yang termasuk penggunaan shisha dikhaskan untuk pelajar sekolah.

"Kalau orang tua pergi belia dia tak jual. Budak beli, dia jual. Biasa mereka ini mula dengan shisha akhirnya merokok," katanya.

Bahkan Hilmi mengakui kempen 'Tak Nak Merokok' sudah lama selain menyeru masyarakat sedar akan bahayanya merokok.

Terdahulu, Ahli Parlimen Tanjung Piai Datuk Wee Jeck Seng dalam soalan asal meminta Menteri Kesihatan menyatakan adakah kementerian berhasrat untuk memperluaskan zon larangan merokok di seluruh negara dab apakah usaha kementerian bagi memastikan pelaksanaan ini tercapai dan pada masa sama tidak mengundang implikasi negatif terhadap masyarakat. - HARAKAHDAILY 28/10/2015

Share on Myspace