Pemandu kereta sewa pasang kuliah Tok Guru

SALMAH MAT HUSAIN | .

KOTA BHARU: Pada awal 1990-an bas-bas ekspress laluan jarak jauh memasang video cakera padat (VCD) doa memulakan perjalanan dan dokumentari berkaitan Kelantan yang disumbang kerajaan negeri.

Pelancaran kempen tersebut pernah diadakan di hentian bas ekspress Jalan Hamzah. Namun sekarang aktiviti tersebut tidak lagi kelihatan.

Bagaimanapun pemandu-pemandu kereta sewa pula mengambil inisiatif sendiri memasang kaset atau CD kuliah arwah Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam teksi mereka.

Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata pemandu kereta sewa menggunakan medium terbaik menyampaikan tazkirah melalui kaset yang boleh didengari penumpang ketika dalam perjalanan.

“Ini secara tidak langsung dapat melebarkan lagi mesej dakwah tanpa disedari melalui tazkirah Tok Guru atau mana-mana ulama,” katanya pada majlis kesyukuran anjuran Persatuan Pemandu, Pemilik Kereta Sewa/Teksi Negeri Kelantan (PPTK) bersama Menteri Besar di sini semalam.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Fattah Mahmood dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB BRI), Zamri Ismail.

Menteri Besar juga merakamkan ucapan terima kasih kepada pemandu kereta sewa kerana bertindak sebagai duta kerajaan negeri bagi menjelaskan isu semasa yang berlaku di Kelantan.

Katanya sambil memandu menuju destinasi mereka juga boleh mendengar pelbagai maklumat daripada rakyat tempat termasuk pelancong berkaitan kerajaan negeri. - HARAKAHDAILY 28/10/2015

Share on Myspace