Dakwaan rasuah: Kelantan sedia kerjasama SPRM

SALMAH MAT HUSAIN | .

KOTA BHARU: Kelantan sedia memberi kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyiasat dakwaan berlaku rasuah membabitkan pemimpin kerajaan negeri.

Menteri Besar Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata kerajaan negeri menunggu laporan daripada SPRM berhubung dakwaan itu.

“Memandangkan laporan terhadap dakwaan itu dibuat kepada SPRM, kita tunggu sahaja maklumat pihak terbabit,” katanya selepas mesyuarat Exco di Kota Darulnaim hari ini.

Semalam seorang pengundi luar Kelantan Mohd Afiq Ayob membuat laporan kepada SPRM terhadap dakwaan rasuah lebih RM5 juta berkaitan kegiatan pembalakan melibatkan seorang pemimpin di negeri ini.

Berdasar viral di media sosial turut hadir di pejabat SPRM semalam bekas aktivis NGO yang kini difahamkan terbabit dengan PAN.

Ustaz Ahmad bagaimanapun enggan menjawab isu dibangkit Adun Salor, Datuk Husam Musa yang aktif membuat teguran terbuka di media sosial berkaitan kerajaan negeri.

“Maaf itu saya tidak mahu komen,” ujarnya.

Sebelum ini Setiausaha Akhbar Menteri Besar Mohd Asri Mat Daud menjelaskan segala isu berkaitan kerajaan negeri termasuk dibangkit Husam akan dijawab pada persidangan Dun bermula Isnin hadapan.

Ustaz Ahmad yang juga Timbalan Mursyidul Am berkata PAS hanya bekerjasama dengan Umno berkaitan kebajikan rakyat dan bukannya hubungan antara parti.

Katanya, dasar PAS tetap al Quran dan Hadis.

“Ia tidak sama dengan Umno dan dasar parti kita tentunya berbeza,” ujarnya. - HARAKAHDAILY 28/10/2015

Share on Myspace