NFC Gagal: Kerajaan wajar guna konsep AIM

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dilihat sebagai konsep terbaik dalam mengatasi ekonomi rakyat yang berpendapatan rendah.

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Idris Ahmad ketika mencelah pada soalan tambahan berkata, apa yang dilaksanakan AIM menunjukkan hampir 97 peratus membayar pinjaman yang disediakan.

"Jawapan menteri di Parlimen pada 2013 menunjukan import makanan dari 2002 hingga 2012 sebanyak RM221.81 bilion iaitu lebih kurang RM22 bilion setahun, ia meliputi termasuk import daging dan tenusu.

"Jawapan yang diberikan kerajaan hari ini menyatakan dalam isu memelihara lembu terutamanya projek pawah dan juga NFC telah menemui kegagalan dan ini amat mendukacitaan.

"Adalah lebih baik kerajaan memikir konsep AIM kerana mereka ada usrah iaitu perjumpaan, apa salahnya diberi kepada mereka melalui konsep 'bela-bela' termasuk penerima e-kasih, mereka ada perjumpaan untuk pastikan lembu tersebut tidak dijual,"  katanya.

Naib Presiden PAS itu juga berpendapat dengan konsep ini bukan hanya dapat membantu ekonomi rakyat tetapi juga dapat mengawal kenaikkan harga daging lembu setiap kali tiba Hari Raya Korban.

"Ini cara untuk kita beri kail bukan ikan, mengurangkan kadar kemiskinan dan kita juga dapat mengawal kadar import yang dihadapi sekarang ini," katanya lagi.

Sebelum ini, soalan asal Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Liang Teck Meng meminta Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani menyatakan perkembangan usaha yang dilaksanakan oleh kementerian dalam menggalakkan lebih banyak pembangunan pusat ternakan lembu bagi meningkatkan industri pengeluaran bekalan daging lembu serta kebergantungan kepada daging dan lembu import.

Timbalan Menteri Pertanian dan industri Asas Tani, Datuk Tajuddin Abdul Rahman ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Bukit Gantang, kerajaan menyambut baik serta akan pertimbangkan cadangan tersebut. – HARAKAHDAILY 28/10/2015

Share on Myspace