Hapus GST, PAS cadang kaedah Islam

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR:  PAS mencadangkan kerajaan supaya mengenakan cukai kepada lebihan simpanan orang kaya serta syarikat-syarikat yang mempunyai modal pusingan yang besar sebanyak 2.5 peratus setahun.

Menurut Ahli Parlimen Temerloh Nasrudin Hassan, hasil cukai tersebut kerajaan dapat mengagihkan kepada fakir miskin dengan kadar sekurang-kurangnya 30 peratus .

Katanya, pendekatan ini sekali gus dapat merapatkan kembali jurang pendapatan antara orang miskin dengan orang kaya yang kini semakin melebar.

"Mengambil harta rakyat terutama golongan miskin sama ada melalui GST adalah satu penindasan dan penganiayaan apatah lagi ia bercanggah dengan syarak.

"Dalam masa yang sama kita dapat hapuskan GST dan kita akan rapatkan kembali jurang antara miskin dan kaya," katanya semasa mengambil bahagian dalam perbahasan Bajet 2016 di Dewan Rakyat, petang ini.

Beliau juga percaya dengan memansuhkan GST kerajaan akan dapat pulangan RM30 bilion melalui cukai lebihan simpanan yang dikenakan.

"Kekurangan RM30 bilion daripada GST kita boleh ganti balik dengan sumber kompetitif daripada cukai atas simpanan tersebut," jelas beliau yang juga Ketua Penerangan PAS.

Tambahnya, PAS sangat komited untuk mansuhkan GST dan merayu kepada kerajaan agar melaksanakan pendekatan ini yang selari dengan prinsip Islam iaitu "harta kekayaan tidak hanya berlegar di kalangan orang kaya semata-mata".

Justeru beliau dan PAS bersedia untuk berbincang lebih lanjut bagaimana kerajaan boleh mengetengahkan konsep cukai simpanan ini. – HARAKAHDAILY 28/10/2015

Video bahas bajet

Share on Myspace