Janji Muhammad SAW kepada Suraqah

USTAZ ROSLI ABDUL JABAR | .

FAKTA matematik menunjukkan bahawa tentera Islam yang dipimpin oleh Rasulullah SAW untuk berhadapan dengan dengan tentera kafir Quraisy dalam peperangan Badar adalah sangat lemah. Bukan sahaja bilangannya sangat sedikit, berkurangan lebih kurang tiga kali ganda dengan tentera kafir Quraisy malahan tentera Islam juga tidak memiliki armada peperangan dan kelengkapan perang yang selayaknya untuk menang dalam pertempuran pertama dengan tentera kafir Quraisy yang serba lengkap.

Rasulullah SAW yang sedang melarikan diri bersama Abu Bakar As-Siddiq ketika arahan berhijrah oleh Allah SWT telah dikejar oleh Suraqah bin Malik, sehingga berlakunya perjanjian antara Rasulullah SAW dan Suraqah. Suraqah adalah penjejak yang sangat mahir, jika sekiranya Suraqah menyembunyikan laluan yang dilalui oleh Rasulullah SAW, maka Rasulullah SAW menjanjikan untuk memakaikannya mahkota dan pakaian "Kisra bin Hurmuz".

Satu perjanjian yang sukar untuk diterima akal dan membingungkan Suraqah, namun semuanya menjadi nyata pada zaman pemerintahan Khalifah Umar Al-Khattab, Suraqah dipakaikan oleh Umar pakaian tersebut. Pada ketika itu, Suraqah hanya mematung diam mengingati janji Rasulullah SAW kepadanya, meskipun sukar untuk diterima akal janji seorang manusia yang sedang melarikan diri daripada buruan, tanpa pengikut yang ramai dan harta yang banyak bersamanya.

Berjanji untuk menyerahkan kepadanya pakaian pemerintah empayar Rom dan Parsi yang merupakan empayar terbesar dan terkuat pada masa tersebut, seperti Amerika ketika ini. Begitulah Allah SWT mengaturkan perjalanan kehidupan mereka yang berjuang dijalan-Nya, sentiasa berada dalam situasi yang sangat menguji keimanan dan sentiasa bergantung harap kepada-Nya juga sentiasa yakin dengan keEsaan dan Kekuasaan-Nya.

Fakta tetap fakta, kiraannya bukan keputusan mutlak, kerana orang beriman wajib yakin bahawa tidak ada keputusan melainkan keputusan itu adalah datangnya dari Allah SWT, meskipun dari sudut faktanya ia adalah mustahil. Ada keputusan yang munasabah dengan kiraan fakta, ada juga yang sebaliknya, semua itu dengan kehendak Allah SWT, ini adalah Aqidah orang yang beriman, firman Allah SWT:

"Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha kuat lagi Maha perkasa,” (Al-Hajj ayat 40)

Ayat ini tidak menafikan fakta, tetapi menafikan keimanan bahawa sesuatu itu pasti berlaku dengan kiraan fakta, jika sedikit pasti kalah, jika ramai pasti menang. Agak mustahil untuk diyakinkan dalam pertembungan pilihan raya, tetapi tiada yang mustahil bagi Allah SWT. Pertolongan Allah SWT itu berpihak kepada orang yang sentiasa berjuang untuk menegakkan agamanya, meskipun dibenci oleh musuh-musuhnya, cepat atau lambat itu adalah urusan Allah SWT, Dia Maha Mengetahui dan Bijaksana untuk memberikan keputusan tentang urusan hamba-Nya.

"Dia lah yang telah mengutus Rasul-Nya (Muhammad SAW) dengan membawa hidayah petunjuk dan agama yang benar (agama Islam), supaya Ia memenangkannya dan meninggikannya atas segala agama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya." (As-Saff Ayat 9)

PAS sangat menyakini ini, kerana itu seruan untuk meninggikan agamanya tetap dijunjung sehingga kini, menolak segala bentuk pakatan, rayuan atau ancaman supaya meninggalkannya. Meskipun ada manusia beriman dengan fakta bahawa Islam tidak menang jika masih ada golongan musyrik membencinya, namun Allah SWT telah menegaskan kemenangan Islam itu berada di tengah-tengah kebencian manusia yang mensyirikkan-Nya.

Allah SWT adalah Rabb Yang Berkuasa ke atas hati-hati manusia, Dialah yang membolak-balikkannya, hari ini mungkin manusia benci, tetapi mungkin tidak pada masa mendatang. Tidak mustahil mereka yang membenci kini, menjadi seperti Saidina Umar pada masa akan datang, itu janji Allah atau diutuskan para Malaikat-Nya untuk membantu sebagaimana para Malaikat membantu tentera Badar, perkara-perkara diluar kiraan fakta boleh berlaku dengan izin-Nya.

Yang penting para amilin PAS mestilah bekerja dengan bersungguh-sungguh dan penuh keikhlasan agar dapat meraih Rahmat dan pertolongan-Nya. Korbankanlah tenaga dan harta semaksimum mungkin, sebarkan salam dan kebaikan, syiarkan Islam di mana-mana jua, kerana itu antara syarat kemenangan, yakinlah kesungguhan itu akan merubah fakta dengan izin-Nya, namun jika fakta tidak berubah, teruskan dan Istiqamahlah berjuang pada jalan Allah SWT kerana janji-Nya pasti tidak berubah iaitu "Islam Pasti Menang". – HARAKAHDAILY 29/10/2015

Penulis ialah Pesuruhjaya PAS Pahang dan Adun Tanjung Lumpur

Share on Myspace