Sukan tradisional: Wajar contohi Jepun, Korea

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta untuk mengkaji dalam memperkenalkan sukan tradisional di sekolah-sekolah sukan agar ia dapat dibawa ke peringkat antrabangsa.

Ahli Parlimen Korta Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan ketika mencelah pada soalan tambahan berkata, Malaysia sepatutnya mengikuti apa yang dilakukan di Jepun dan Korea.

"Kedua-dua negara tersebut, Jepun dan Korea walaupun maju dalam sukan-sukan moden tetapi terus memperkenalkan sukan tradisi mereka.

"Kita lihat bagaimana sumo di peringkat antarabangsa, begitu juga di Korea. Jadi atas itu apa kata kita perkenalkan silat, wau, batu seremban mahupun gasing di Sekolah Sukan, ia dapat mempromosikan negara," katanya.

Sebelum itu, pada soalan asal jawab lisan, Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Othman Aziz meminta Menteri Pendidikan menyatakan sejauh manakah sasaran yang telah diletakkan oleh Kementerian terhadap Sekolah Sukan di negara ini telah tercapai bagi melahirkan golongan atlet muda sebagai pelapis wira sukan negara dan apakah kejayaan-kejayaan yang telah dicapai oleh pelajar menepati pelan jangka panjang Dasar Sukan Negara dan apakah Kementerian bercadang untuk menambah bilangan Sekolah Sukan di masa hadapan.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pendidikan II, Senator Chong Sin Woon yang menjawab pertanyaan Setiausaha Agung PAS Pusat berkata, setakat ini kokurikulum di sekolah-sekolah sukan sudah mencukupi dan akan padat jika sukan-sukan tradisional dimasukkan dalam kokurikulum.

Namun beliau menyambut baik cadangan serta mempertimbangkan cadangan yang diberikan itu. – HARAKAHDAILY 29/10/2015

Share on Myspace