LPT2 selamat, 'tidak berhantu' - Miros

AMIRIL MUTTAQIEN MEKETAR | .

KUALA LUMPUR: Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) tidak mempunyai sebarang masalah dan selamat walaupun dianggap 'berhantu' berikutan beberapa siri kemalangan maut yang berlaku sejak kebelakangan ini.

Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) Prof Dr Wong Shaw Voon berkata berdasarkan penilaian awal yang dilaksanakan pada 22 Okt, struktur dan aspek keselamatan lebuh raya itu berada dalam keadaan baik.

"Terdapat beberapa kawasan mendap dan permukaan jalan tidak rata namun pada pengamatan saya, ia tidak mengundang masalah kepada pengguna jika mereka dapat menguruskan pemanduan dengan kelajuan bersesuaian.

"Jika dilihat dari segi permukaan beberapa jalan yang tidak rata itu, ia secara tidak langsung memaksa pemandu memperlahankan kereta dan bukannya memandu dengan laju," katanya ketika ditemui Bernama.

Miros, Lembaga Lebuhraya Malaysia dan Jabatan Kerja Raya(JKR), melakukan lawatan ke lebuh raya berkenaan bagi mengenal pasti punca kemalangan.

Dalam lawatan sehari itu, pihak JKR turut melakukan beberapa penambahbaikan seperti menampal permukaan jalan yang tidak rata untuk keselesaan pengguna.

Wong berkata hasil penilaian awal yang dilakukan di LPT2 itu dijangka diketahui minggu hadapan.

Pada 14 Okt lalu, enam sekeluarga maut selepas kenderaan yang mereka naiki terperosok di bawah sebuah treler yang berhenti di lorong kecemasan di Km258.8, manakala tiga hari kemudian, dua beranak maut selepas kereta yang dinaiki terbabas sebelum merempuh pembahagi jalan di Km273.9.

Dua hari selepas itu (19 Okt), seorang pengawal keselamatan maut dan rakannya cedera parah selepas skuter yang dinaiki mereka hilang kawalan di Km317.9.

Mengikut statistik Polis Diraja Malaysia, sehingga 16 Okt sebanyak 82 kes kematian direkodkan di sepanjang lebuh raya itu melibatkan 1,989 kes kemalangan sejak ia dibuka Januari 2011.

Wong tidak menolak kemungkinan faktor jalan lurus yang panjang menyebabkan pemanduan membosankan menyumbang kepada kejadian kemalangan di LPT2.

"Faktor ini juga dipercayai penyebab yang merangsang pemandu memandu melebihi had laju ditetapkan, selain faktor persekitaran membosankan juga menyebabkan pemandu mudah mengantuk," katanya.

Justeru, Wong menyarankan pengguna merancang perjalanan dengan teliti.

"Jika anda berasa letih mahupun tidak sihat, ambil ubat dan berehat di kawasan rawat dan rehat yang disediakan dan bukannya meneruskan pemanduan.

"Saya juga merasakan khidmat pemandu kedua penting sekiranya pemandu utama berasa letih bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku," katanya.

Beliau turut menasihati pengguna memastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat sebelum memulakan perjalanan. - Bernama

Share on Myspace