1MDB dan RM2.6b: Siar jawapan secara langsung

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin menggesa disiarkan sesi soalan jawab di Dewan Rakyat mengenai 1MDB dan derma RM2.6 bilion secara langsung melalui TV.  

Menurutnya, mesyuarat Parlimen kali ini yang bermula pada 19 Oktober lalu memperlihatkan satu fenomena yang sangat berminat.

Katanya, dalam tempoh dua minggu persidangan (8 hari) yang telah berlalu, perdebatan tentang isu 1MDB dan RM2.6 bilion dalam akaun peribadi Perdana Menteri tidak pernah muncul dalam tempoh soal-jawab menteri, iaitu satu setengah jam pertama setiap hari persidangan berlangsung, di mana perdebatan disiarkan secara langsung melalui saluran televisyen kebangsaan.
 
"Jika kita meneliti dengan betul-betul, pertanyaan tentang isu 1MDB dan RM2.6 bilion dalam akaun peribadi Perdana Menteri tidak pernah dimasukkan dalam 15 soalan yang pertama pada setiap hari persidangan, walaupun terdapat banyak soalan yang telah dilontarkan tentang dua isu tersebut. 15 soalan pertama biasanya sempat dijawab oleh para menteri," ujarnya dalam satu kenyataan.
 
Mengikut kajian beliau, sebanyak 41 soalan telah ditanya oleh ahli-ahli Parlimen sepanjang 8 hari yang lepas.

Tambahnya, secara purata lebih 5 soalan telah ditanya setiap hari, atau bersamaan dengan lebih kurang 10% soalan yang ditanya, tetapi, secara ajaibnya, ia tidak pernah masuk dalam 15 soalan utama.

"Hanya 1 soalan berkenaan 1MDB yang berjaya masuk soalan ke-26, yang selainnya 30 dan ke atas. Adakah ia cuma satu kebetulan?" tanya beliau yang juga Pengarah Strategi PKR.
 
Katanya lagi, isu 1MDB dan RM2.6 bilion adalah dua skandal terbesar dalam sejarah Malaysia di mana ahli-ahli parlimen ingin membawa soalan-soalan dari rakyat ke Dewan Rakyat.

Maka, ujarnya timbul kemusykilan adakah menteri-menteri tidak bersedia menjawab isu 1MDB dan dana RM2.6 bilion secara 'live' melalui kaca TV kepada rakyat.
 
"Ingin kita mengingatkan Perdana Menteri bahawa semua Ahli Parlimen dan seluruh rakyat Malaysia masih menunggu Perdana Menteri untuk menjawab siapa penderma RM2.6 bilion, sebab-sebab ‘derma’ dan ke mana pergi duit sekarang," ujarnya.
 
Manurut beliau lagi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dari Pengerang juga memaklum bahawa pertanyaan-pertanyaan itu akan dijawab secara serentak bersama pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian dalam persidangan kali ini juga.
 
"Saya ingin menyeru menteri menyiarkan sesi tersebut secara langsung atau 'live' melalui kaca TV untuk sekali gus menyelesaikan kemusykilan rakyat terhadap isu-isu ini," katanya. - HARAKAHDAILY 29/10/2015

Share on Myspace