Royalti: Negeri pengeluar tuntut kadar baru

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Biar pun kerajaan mengakui lebih 40 peratus pendapatan negara bergantung kepada sumber petroleum, namun hak Kelantan ke atas royalti dinafikan sehingga sekarang.  

Sedangkan pada 9 Mei 1975 Kelantan menandatangani perjanjian seperti juga negeri-negeri lain yang mempunyai sumber petroleum.

Presiden Pertubuhan R Kelantan Nazri Deraman berkata royalti yang menjadi hak rakyat Kelantan terus dinafikan kerajaan pusat.

“Sekarang negeri-negeri pengeluar minyak bercakap menaikkan kadar royalti dan bukan lagi kadar lama 5 peratus.

“Malangnya hak Kelantan di atas kadar lama belum lagi menjadi kenyataan sehingga sekarang,” katanya di sini.

Katanya ada negeri pengeluar minyak mahu mengkaji kadar royalti lama sehingga muncul isu mahu mengurus sendiri kekayaan negeri mereka.

“Ini adalah satu situasi penting yang memperlihatkan negeri pengeluar minyak tidak berpuas hati biar pun Kelantan dinafikan hak tersebut sejak sekian lama,” katanya di sini.

Ketika membentang Bajet 2016 Jumaat lepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata pendapatan Petronas dianggar menyusut daripada RM39 bilion kepada RM21 bilion.

Tahun lepas Dewan Undangan Negeri Sarawak meluluskan usul memohon Kerajaan Persekutuan menambah bayaran royalti minyak dan gas daripada lima sekarang kepada 20 peratus.

Nazri juga berkata sampai bila Malaysia mahu bergantung kepada sumber minyak yang terdedah kepada manipulasi harga negara kuasa besar.

Menurutnya Malaysia perlu menjadi negara industri pengeluar produk yang mampu mencipta permintaan di pasaran dunia.

“Lebih 80 peratus atau RM267 bilion bajet 2016 diperuntukan untuk sektor pengurusan. Hanya sekitar 20 peratus sahaja bagi menyediakan pasarana untuk kemudahan rakyat,” katanya.

Menurutnya ketidakseimbangan itu menyebabkan kebajikan rakyat terabai kerana kerajaan terpaksa menggunakan banyak dana awam bagi mengurus negara.

Baru-baru ini Menteri Besar Ustaz Datuk Ahmad Yakob menjelaskan perjuangan menuntut royalti petroleum tidak terhenti biar pun sehingga kini belum menjadi kenyataan. - HARAKAHDAILY 29/10/2015

Share on Myspace