Peruntukan RM793,000 perkukuh ekonomi desa

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Tiga program keusahawanan dengan peruntukan RM793,300 dilaksanakan Kerajaan Selangor khusus untuk memberdayakan ekonomi warga desa dan kampung tradisi.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu & Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi negeri, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata program itu adalah selaras dengan hasrat Selangor untuk meningkatkan taraf sosial rakyat demi kesejahteraan negeri.

Katanya program itu mensasarkan tiga golongan utama iaitu belia desa, ibu tunggal dan suri rumah serta peniaga secara kecil-kecilan.

“Program ini dibuat bersama-sama dengan INPENS International College di Kuala Selangor dan Institut Teknologi Kulinari Anjung Utara (ITKAU) di Kuala Kubu Bharu.

“Ia bagi memberi peluang kepada komuniti desa yang berminat memulakan perniagaan tetapi tidak mempunyai modal serta kepada bakal usahawan yang beriltizam menjadikan perniagaan sebagai kerjaya sepenuh masa,” katanya dipetik Selangor Kini.

Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Aku Janji sempena Program Industri Komuniti Kampung 2015 di Muzium Sultan Alam Shah, dekat sini hari ini.

Pada masa sama, Yunus berkata, program itu berupaya mencipta identiti sesebuah daerah melalui produk perkhidmatan yang mempunyai nilai ekonomi untuk berdaya saing di peringkat nasional.

Katanya, ia juga mampu memperkukuh masyarakat setempat dengan aktiviti sosio ekonomi yang lebih berdaya maju.

“Antara program ditawarkan adalah usahawan kemahiran, makanan dan minuman secara kios atau penjajaan serta juruterapi komplimentari berdaftar, bidan kampung stimulatheraphy dan terapi kesihatan lelaki,” katanya.

Dalam majlis itu, lebih 100 peserta layak menyertai program terbabit untuk menjalani kursus kemahiran jangka pendek dan jangka panjang termasuk ‘Satu Daerah Satu Inkubator’ yang menyediakan premis dan modal untuk permulaan perniagaan. - HARAKAHDAILY 29/10/2015

Share on Myspace