Indeks Syariah sudah lama dilaksana di Kelantan

MUHAMMAD YUSRI AMIN | .

KOTA BHARU: Indeks Syariah Malaysia yang dicetus kerajaan pusat sekarang sudah lama dilaksanakan kerajaan Kelantan di bawah dasar Membangun Bersama Islam (MBI).

Menteri Besar Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata, lima objektif MBI iaitu memelihara agama, jiwa, akal, keturunan dan harta.

“Kita di Kelantan sangat menekankan penerapan pentadbiran berteraskan Ubudiyyah, Masuliyyah dan Itqaan (UMI).

“Apa jua kerja dilakukan mesti diletak dosa pahala di hadapan. UMI diterap dalam pentadbiran kerajaan bukan hanya slogan yang diuar-uarkan.

“Dengan itu integriti mampu dijanakan sepenuhnya dalam melaksanakan urusan kerja,” katanya pada Perasmian Penutup Wacana Eksekutif Indeks Syariah Malaysia Peringkat Negeri di Balai Islam hari ini.

Teks ucapannya dibaca anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Nassuruddin Daud.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Othman Mustapha, Ketua Hakim Syar’ei Negeri Datuk Daud Mohamd, Timbalan Pengerusi Tadbir Urus Indeks Syariah Malaysia Prof Datuk Sri Dr Zaleha Kamaruddin.

Hadir sama Timbalan Mufti Negeri Datuk Nik Abdul Kadir Nik Mohamad dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHAEIK) Dato’ Che Mohd Rahim Jusoh.

Menteri Besar juga berkata bagi meningkat kualiti diri dengan keilmuan Islam kalangan pegawai tadbir, mereka ditawar mengikuti kurus Diploma Tasawwur Islam.

Kata beliau sekiranya panduan syariat itu dijunjung pemimpin dan rakyat, keadilan serta keindahan Islam akan dikecapi.

“Alhamdulillah sekarang golongan non-muslim sudah ramai faham pelaksanaan syariah Islam dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara.

“Jika kita melihat dalam konteks perbankan di Malaysia, didapati ramai pemegang akaun Mudharabah dalam kalangan non-muslim.

“Begitu juga pemilik sijil halal Malaysia hampir 68 peratus dari kalangan non-muslim,” ujarnya.

Menurutnya juga pelaksanakan hukuman Qisas membolehkan masyarakat hidup aman damai tanpa jenayah.

“Apa yang diusahakan kerajaan negeri bagi melaksanakan Kanun Jenayah Syariah untuk mendapat jaminan Allah SWT mengelakkan manusia daripada perlakuan jenayah dan kemungkaran, insya Allah.

“Namun apa yang kita sedih ada di kalangan umat Islam sendiri sanggup memperlekeh serta mempersendakan tuntutan agama itu,” katanya.

Pengarah JAHEAIK berharap wacana itu boleh membantu kerajaan negeri bagi mendapat sokongan semua pihak untuk melaksanakan Kanun Jenayah Syariah. - HARAKAHDAILY 29/10/2015

Share on Myspace