Kemalangan LPT2, gesa tubuh suruhanjaya siasatan

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa menubuhkan satu suruhjaya siasatan bagi mengkaji dan mengenalpasti punca kemalangan yang kerap berlaku di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2).

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata suruhanjaya ini bagi menilai keadaan jalan, kelengkapan dan persekitaran LPT2 dan seterusnya mencadangkan kepada kerajaan dan agensi berkaitan langkah-langkah penambahbaikan dan menangani punca kemalangan di sepanjang jajaran LPT2.

Beliau yang sebelum itu mengemukakan usul di Parlimen pada 26 Oktober lalu bagi menangguhkan mesyuarat di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) dan (2) bagi penubuhan suruhanjaya tersebut, namun telah ditolak oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat semalam.

"LPT2 mula beroperasi sejak Ogos 2011 dan sehingga Oktober 2016, ia telah mencatatkan 1,989 kes kemalangan membabitkan 85 kematian.

"Kemalangan maut terbaru ialah pada 14, 18 dan 19 Oktober yang membabitkan 6, 2 dan 1 kematian masing-masing.

"Insiden kemalangan maut yang kerap dalam tempoh kurang seminggu ini harus diberi perhatian serius dan diteliti secara mendalam bagi mengenalpasti punca sebenar kejadian dan melakukan langkah pencegahan segera bagi mengelakkan ia berulang." katanya.

Menurut beliau, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) hanya menyenaraikan kemalangan berpunca daripada cara pemanduan yang melebihi had laju dan mengantuk di samping faktor haiwan.

Malah, Kementerian Kerja Raya (KKR) pula menegaskan bahawa LPT2 adalah dibina mengikut standard dan piawaian yang telah ditetapkan dan ia bukan punca kemalangan. Begitu juga Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) juga menyatakan bahawa faktor manusia adalah punca kemalangan.

"Sebaliknya, berdasarkan pemantauan dan kajian lapangan oleh sebuah NGO iaitu Gerakan Anak Terengganu Insaf (Ganti) mendapati bahawa tidak kurang 28 lokasi sepanjang jajajaran LPT2 dari Gemuroh ke Kijal adalah tidak sekata dan beralun serta merbahaya kepada para pengguna.

"Selain itu, wujud juga keadaan ada kawasan tidak berpagar atau pagar rosak, pencahayaan yang tidak mencukupi, ketiadaan dan kerosakan papan tanda, garisan dan pembalikcahaya di tengah dan tepi jalan yang tidak jelas dan faktor-faktor lain," katanya lagi.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) berkata, kajian bersama oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) baru-baru ini mengisytiharkan bahawa sruktur dan aspek keselamatan lebuh raya itu berada dalam keadaan baik dan menegaskan bahawa kemalangan yang berlaku sebelum ini tidak dipuncakan oleh faktor ini.

"Saya berpandangan bahawa kajian ini adalah tidak bersepadu dan tidak menyeluruh serta berkemungkinan tidak telus sepenuhnya memandangkan institusi tersebut adalah agensi kerajaan.

"Serta telah diketahui pendirian mereka berhubung masalah ini sementelah lagi kajian ini dibuat dalam tempoh yang amat singkat iaitu hanya seminggu. Mustahil semua aspek telah dapat diambil kira dalam tempoh yang sesingkat itu," tambah beliau lagi. – HARAKAHDAILY 30/10/2015

Share on Myspace