Tahanan: Kematian Syed Azlan ada kaitan kekerasan polis

HARAKAHDAILY | .

 

KUALA LUMPUR: Kematian Syed Mohd Azlan Syed Mohamed Nur mempunyai kaitan dengan penggunaan kekerasan secara fizikal oleh pihak polis yang menjalankan tangkapan dan soal siasat ke atas si mati semasa dalam tahanan PDRM.

Demikian dinyatakan oleh Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Datuk Yaacob Md Sam berhubung dapatan (findings) yang telah selesai dijalankan oleh Pasukan Petugas EAIC dan diterima oleh EAIC selari dengan terma-terma rujukan siasatan.

"Pakar Perunding dan Ketua Jabatan, Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru, yang menjalankan bedah siasat ke atas mayat si mati mendapati kematian Syed Mohd Azlan disebabkan oleh trauma hentakan tumpul (blunt force trauma to the chest) ke atas dada si mati tersebut," ujarnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Berikut kenyataan penuh beliau.

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan atau Enforcement Agency Integrity Commission (EAIC) ingin mengumumkan kepada orang awam mengenai dapatan (findings) siasatan oleh Suruhanjaya ini ke atas kematian Syed Mohd Azlan bin Syed Mohamed Nur semasa dalam tahanan PDRM.   

Dalam hal ini, EAIC melalui Pasukan Petugas yang dibentuk telah menjalankan siasatan yang merangkumi terma-terma rujukan yang berikut:  

Terma-terma rujukan (terms of reference) Pasukan Petugas adalah seperti berikut:  

(i) Untuk mengenal pasti sama ada terdapat sebarang salah laku seperti yang diperuntukkan di bawah seksyen 24 Akta 700 oleh pegawai/anggota PDRM semasa mengendalikan tahanan tersebut;  
(ii) Sekiranya terdapat salah laku dizahirkan, untuk menentukan dan mengenal pasti:  

(a) bagaimana dan mengapa salah laku itu terjadi;  

(b) apakah peraturan-peraturan, kaedah-kaedah, Standard Operating Procedures (SOP) atau mekanisme yang menyebabkan atau mendorong kepada berlakunya salah laku tersebut; dan
 
(c) siapakah individu yang bertanggungjawab ke atas salah laku tersebut.  

(iii) Untuk melakukan semua perkara yang suai manfaat atau yang semunasabahnya perlu bagi, atau yang bersampingan dengan, pelaksanaan fungsinya dalam menyiasat kes kematian tahanan tersebut selaras dengan peruntukan Akta 700;   

(iv) Untuk mengesyorkan apa-apa penambahbaikan atau penggubalan semula peraturan-peraturan, kaedah-kaedah, SOP atau mekanisme bagi memastikan salah laku tersebut tidak berulang; dan  

(v) Untuk menyedia dan mengedarkan laporan mengenai hasil dan dapatan siasatan dan syor-syor terhadapnya.  

Sehubungan dengan pembentukan Pasukan Petugas tersebut, Pasukan Petugas yang telah mengambil tindakan berikut:  

(a) mengambil keterangan daripada 35 orang saksi (termasuk anggota polis berkaitan penangkapan dan tahanan Syed Mohd Azlan (si mati), pegawai perubatan, orang awam dan juga ahli keluarga si mati);  

(b) melawat dan memeriksa tempat kejadian di mana Syed Mohd Azlan telah ditangkap;    

(c) meneliti dan mengkaji dokumen-dokumen yang berkaitan termasuk laporan polis berkenaan tangkapan, catatan Buku Perharian Balai, laporan bedah siasat dan laporan kimia beserta gambar-gambar berkaitan;  

Latar belakang kejadian tangkapan dan kematian si mati adalah seperti berikut:  

(i) Pada 19 September, 2014 lebih kurang jam 1.00 pagi, pengadu iaitu seorang lelaki Melayu bersama beberapa rakannya termasuk seorang teman wanita pengadu telah pergi ke rumah di alamat No. 53, Kampung Dato’ Abdul Ghani untuk berjumpa dengan Syed Mohd Azlan bin Syed Mohamed Nur (si mati). Mereka diberitahu oleh bapa si mati bahawa si mati tiada di rumah pada ketika itu.   

(ii) Lebih kurang 30 minit kemudian, si mati pulang ke rumah bersama beberapa rakan si mati dengan menaiki kereta jenis Proton Saga berwarna perak serta sebuah lagi kereta jenis Honda berwarna hitam. Setiba di situ, si mati dan rakan-rakan si mati dikatakan telah keluar daripada kereta dengan bersenjatakan senjata berbentuk sepucuk pistol dan sebilah pedang samurai lalu menyerang pengadu dan rakan-rakan pengadu sehingga mendatangkan kecederaan ke atas pengadu dan rakan pengadu. Pengadu berjaya melarikan diri dari terus diserang.  

(iii) Satu laporan polis telah dibuat oleh pengadu di Balai Polis Sungai Rengit (Sg Rengit Rpt: 816/2014) bersabit dengan kejadian tersebut pada 19 September 2014 jam 4.45 pagi. Satu kertas siasatan telah dibuka oleh pihak polis untuk disiasat di bawah seksyen 148 Kanun Keseksaan, iaitu memiliki senjata di dalam rusuhan.  

(iv) Pada 3 November 2014, jam lebih kurang 3.30 pagi, bertindak di atas maklumat, sepasukan polis seramai 13 orang anggota yang diketuai oleh seorang pegawai berpangkat Inspektor telah membuat serbuan ke atas sebuah bilik sewa di rumah bernombor 62, Kampung Simon, Teluk Ramunia, Sungai Rengit, Pengerang, Johor dan telah menangkap si mati. Tiada apa-apa senjata api dijumpai dari si mati.  

(v) Selepas ditangkap, si mati telah dibawa balik ke Balai Polis Sungai Rengit untuk disoal siasat berkaitan kejadian pergaduhan dan penyimpanan senjata api. Bagaimana pun masih tiada senjata api ditemui walau pun pihak polis telah membuat penggeledahan di rumah bapa si mati.  

(vi) Pada jam lebih kurang 7.10 pagi pada hari yang sama, si mati telah dibawa oleh pihak polis menaiki kenderaan polis dari Balai Polis Sungai Rengit untuk pergi ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi bagi tujuan menguruskan permohonan reman ke atas si mati berkaitan kes di mana si mati ditangkap yang disiasat di bawah seksyen 148 Kanun Keseksaan bersabit Sg. Rengit Rpt: 816/2014.  

(vii) Semasa di dalam perjalanan ke IPD Kota Tinggi, anggota polis yang mengiringi si mati mendapati si mati berada di dalam keadaan yang lemah dan tidak bermaya serta tidak memberikan sebarang respons kepada panggilan/pertanyaan yang dibuat oleh anggota pengiring tersebut. Anggota pengiring tersebut serta merta memaklumkan keadaan si mati kepada pegawai tangkapan yang ikut sama di dalam kereta tersebut.  

(viii) Di atas arahan pegawai tersebut, mereka terus menuju ke klinik berdekatan iaitu Klinik Kesihatan Bandar Penawar. Setibanya mereka di Klinik Kesihatan Bandar Penawar pada jam lebih kurang 8.30 pagi, pegawai perubatan bertugas iaitu Dr. Mohd Mahdzan Bin Mazelan telah melakukan pemeriksaan ke atas si mati dan mengesahkan bahawa si mati telah meninggal dunia.   

(ix) Satu laporan polis tentang kematian si mati telah dibuat oleh pegawai iaitu ketua pasukan tangkapan pada 3 November 2013, jam 10.15 pagi (hari yang sama) melalui Bandar Penawar Report No. 002169/14.  

(x) Pada 4 November 2014, bedah siasat (post mortem) telah dijalankan ke atas mayat si mati oleh Dr. Rohayu binti Shahar Adnan di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru yang mengesahkan punca kematian adalah akibat daripada trauma hentakan tumpul pada dada (blunt force trauma to chest). Pemeriksaan juga mendapati si mati mengalami 61 jenis kesan luka/lebam/calaran (bruises) pada tubuh badan termasuk pada bahagian muka, badan dan kedua-dua belah kaki si mati. Satu laporan post mortem telah disediakan oleh doktor pakar tersebut.       

Siasatan kes kematian si mati tersebut telah selesai dijalankan oleh Pasukan Petugas EAIC dan diterima oleh EAIC selari dengan terma-terma rujukan siasatan. Dapatan (findings) siasatan adalah seperti berikut:  

1. Kematian Syed Mohd Azlan Bin Syed Mohamed Nur (si mati) mempunyai kaitan dengan penggunaan kekerasan secara fizikal oleh pihak polis yang menjalankan tangkapan dan soal siasat ke atas si mati;

2. Pakar Perunding dan Ketua Jabatan, Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru, yang menjalankan bedah siasat ke atas mayat si mati mendapati kematian Syed Mohd Azlan disebabkan oleh trauma hentakan tumpul (blunt force trauma to the chest) ke atas dada si mati tersebut. Pemeriksaan juga mendapati si mati mengalami 61 jenis kecederaan di bahagian muka, badan dan kedua-dua belah kaki. Sebahagian daripada kecederaan yang dialami oleh si mati konsisten dengan kecederaan semasa berusaha mempertahankan diri daripada kekerasan fizikal yang dilakukan ke atasnya oleh anggota-anggota polis.

3. Terdapat perlakuan gangguan bahan bukti yang material oleh anggota PDRM iaitu, (i) membersihkan tempat kejadian sebelum dilawati dan diperiksa oleh pegawai perubatan,(ii) melupuskan tikar getah dan karpet yang dipercayai mempunyai kesan darah si mati di tempat kejadian tangkapan, dan (iii) perlakuan menyembunyikan/menghilangkan saksi mata (eye witness) yang melihat kejadian tangkapan si mati;

4. Terdapat anggota tangkapan yang menggunakan gari milik persendirian anggota tersebut yang bukan dibekalkan oleh PDRM bagi menggari si mati selepas ditangkap yang telah menyumbang kepada berlakunya kecederaan di pergelangan tangan si mati.  

5. Terdapat beberapa pemecahan serius (serious breach) ke atas Standard Operating Procedure (SOP) PDRM berkaitan tatacara tangkapan dan pengendalian orang tangkapan, sitaan barang kes dan integriti  keterangan (SOP Tangkapan Jabatan Siasatan Jenayah PDRM); SOP Jabatan Siasatan Jenayah (Prosedur Penggeledahan dan Rampasan) telah dilakukan oleh pegawai dan anggota pasukan serbuan yang dikenal pasti oleh siasatan ini;

6. Terdapat perlakuan serangan bersifat jenayah yang melibatkan unsur niat bersama atau pensubahatan (abetment) oleh anggota PDRM yang terdiri daripada anggota pasukan tangkapan bagi melakukan kekerasan fizikal secara sengaja ke atas si mati yang telah mengakibatkan kecederaan dan kematian ke atas si mati, dan perlakuan ini adalah merupakan jenis kesalahan bersifat jenayah di bawah undang-undang, khususnya kesalahan di bawah seksyen 302 dan seksyen 325 Kanun Keseksaan dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan atau secara alternatif seksyen 107 Kanun yang sama;

7. Selaras dengan peruntukan seksyen 30(1)(b) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700], Suruhanjaya mengesyorkan kepada Pihak Berkuasa Patatertib (PBT) PDRM untuk tindakan tatatatertib dibawa terhadap pegawai dan anggota-anggota yang dikenal pasti di dalam laporan penuh Suruhanjaya yang didapati telah melakukan salah laku seperti mana skop salah laku yang diberikan di bawah seksyen 24 Akta 700;

8. Selaras dengan peruntukan seksyen 30(1)(c) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700], EAIC mengesyorkan kepada Pendakwa Raya (Peguam Negara) bagi pendakwaan jenayah dibawa terhadap pegawai dan anggota PDRM yang didapati telah melakukan salah laku bersifat kesalahan jenayah seperti yang dikenal pasti di dalam laporan penuh siasatan ini.   

EAIC juga sebagai tambahan mengemukakan syor dan cadangan berikut kepada PDRM sebagai penambahbaikan dalam usaha meningkatkan kecekapan dan kualiti pengurusan orang tahanan atau orang tangkapan bagi mengelakkan insiden kematian orang tahanan atau orang tangkapan semasa berada di dalam tahanan:  

1. PDRM menambahbaik SOP berkaitan dengan tangkapan. Jika sekiranya orang tangkapan didapati mengalami kecederaan fizikal (walaupun kecederaan nampak seperti tidak serius), maka saspek itu hendaklah dirujuk terus kepada mana-mana Pegawai Perubatan Kerajaan bagi memastikan tahap keseriusan kecederaan serta status kesihatan saspek tersebut;  

2. PDRM mengadakan “refresher course” atau “refresher training” yang berterusan secara berkumpulan dan berperingkat kepada semua lapisan pegawai dan anggota yang terlibat di dalam operasi serbuan/tangkapan untuk memastikan supaya pegawai dan anggota benar-benar memahami dan mengamalkan kehendak serta tatacara yang diperuntukkan dalam kes-kes tangkapan atau operasi yang berkaitan dengan tangkapan;  

3. PDRM memperketatkan dan menjalankan pemantauan dengan lebih berkesan ke atas pematuhan oleh pegawai dan anggota PDRM ke atas SOP Jabatan Siasatan Jenayah atau Perintah Tetap khususnya berkaitan soalsiasat ke atas orang tahanan, penyitaan barang kes dan kewajipan menyediakan borang geledah atau borang bongkar. Di dalam perkara ini terdapat SOP yang melarang sebarang penggunaan kekerasan ke atas orang tahanan semasa disoalsiasat (PTKPN A 118);  

4. PDRM mengemaskini SOP yang berkaitan bagi melarang sama sekali mana-mana pegawai atau anggota dari menggunakan peralatan yang tidak dibenarkan atau peralatan yang bukan dibekalkan oleh PDRM dalam apa-apa operasi tangkapan; dan

Selain itu, EAIC juga mengesyorkan supaya kajian dibuat oleh pihak Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Peguam Negara ke atas kesesuaian untuk meminda peruntukan Kanun Keseksaan dan Akta Keterangan 1950 bagi memasukkan peruntukan anggapan (presumption) yang akan meletakkan beban bukti ke atas pihak yang mempunyai jagaan dan kawalan ke atas orang tahanan sebagai bertanggungan ke atas kecederaan atau kematian orang tahanan sehingga diakaskan atau dibuktikan sebaliknya. Ini akan dapat mengimbangi keadaan di mana monopoli keterangan hanya dimiliki oleh pihak yang melakukan tahanan ke atas orang tahanan atau mangsa bagi kes-kes kejadian kematian dan kecederaan orang tahanan di bawah jagaan mana-mana pihak berkuasa berkaitan.  

EAIC berasa kesal ke atas kes-kes kematian tahanan dalam lokap yang berulang kali berlaku dalam negara dan memandang serius kepada perkara ini. Kejadian kematian orang tahanan akibat daripada kecederaan tubuh badan semasa di dalam tempoh tahanan oleh perlakuan salah laku anggota penguat kuasa hendaklah dibasmi sama sekali. Demi menjaga integriti semua pihak, diharapkan syor-syor Suruhanjaya ini diberi perhatian dan tindakan serius oleh semua pihak-pihak yang berkaitan.  

Untuk mendapatkan butiran lanjut kandungan laporan siasatan ini orang awam boleh mendapat akses melalui laman sesawang EAIC di alamat www.eaic.gov.my. - HARAKAHDAILY 30/10/2015

Share on Myspace