1MDB: Riba dan kegagalan kapitalisme

AHMAD MOUHYIDEEN HASIN | .

KRISIS yang melanda 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dibebani hutang sebanyak AS$11 bilion adalah bukti jelas kegagalan Kapitalisme dalam memacu kemajuan ekonomi negara. Sistem hutang negara dan dunia yang tidak boleh dipisahkan daripada sistem kapitalisme mengakibatkan ia tidak boleh lari daripada sistem riba yang diharamkan dalam Islam.

Kapitalisme adalah satu sistem ekonomi yakni pelaburan dan pemilikan yang berkaitan pengeluaran, pengedaran dan pertukaran kekayaan dibuat dan diselenggara oleh individu atau syarikat swasta (Collins English Dictionary, 2015).

Ia adalah suatu fahaman bahawa orang perseorangan menjadi pemilik tunggal kepada apa yang diusahakan olehnya. Orang lain tidak berhak ke atasnya hatta kerajaan tidak boleh campur tangan dalam kegiatan ekonomi. Kuasa kerajaan hanyalah untuk mengawasi suasana bebas dan mewujudkan keadaan yang memberi kebebasan kepada rakyat dalam memiliki harta dan melakukan kegiatan ekonomi (TG Haji Abdul Hadi Awang, 1999).

Matlamat kapitalisme hanyalah semata-mata untuk mencari keuntungan walaupun dengan cara yang haram termasuklah melalui sistem riba. Menurut Abul A'la al-Maududi (1985), Kapitalisme melihat bahawa perniagaan dan riba memerlukan antara satu sama lain dan tidak akan maju kecuali dengannya. Jika tidak ada sistem riba maka akan runtuhlah sistem kapitalisme.

Pemikiran ini bertitik tolak daripada kefahaman yang salah bahawa wang berfungsi sebagai barang dagangan yang boleh dijual dan dibeli. Oleh sebab itu ia boleh dipajakkan dengan harga tertentu yang mempunyai kadar faedah.

Perkara ini berlawanan dengan Islam kerana ia menyebabkan pemiutang tidak terlibat dalam risiko untung dan rugi dalam kegiatan ekonomi. Dalam Islam, tidak ada keuntungan yang baik tanpa usaha, kepayahan dan risiko. Islam menolak golongan yang hidup di atas usaha dan peluh orang lain. Semuanya mestilah menanggung risiko dalam perniagaaan  bagi memastikan keadilan terlaksana (Dr. Umar Faihan, 2001).

Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Wahai orang-orang Yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang- orang Yang beriman. Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan daripada Allah dan Rasul-Nya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa. (Al-Baqarah: 278-279).

Islam berbeza dengan Kapitalisme yang meletakkan modal sebagai kepentingan utama dalam perniagaan sehingga ke tahap perlu adanya jaminan bahawa modal akan dipulangkan semula bersama dengan faedah tanpa memandang kepada natijah kegiatan perniagaan tersebut sama ada ia akan memberi keuntungan atau pun tidak. (Dr Umar Faihan, 2001).

Kemelesetan ekonomi yang melanda pada hari ini adalah kesan negatif yang terhasil daripada sistem riba. Ia adalah salah satu punca utama berlakunya kenaikan kos dan harga barang serta ketidakadilan dalam pengagihan kekayaan negara.

Rakyat ditekan melalui cukai dan bayaran-bayaran tertentu termasuk cukai GST dan kenaikan bayaran tol untuk menampung kenaikan kos tersebut. 1MDB yang merupakan syarikat milik kerajaan telah menyumbang kepada kemelesetan ekonomi negara yang akhirnya menyebabkan rakyat terpaksa menanggung bebannya.

Pelabur mula hilang kepercayaan terhadap ketelusan kerajaan dalam menangani krisis 1MDB ini apabila ia sukar untuk membayar hutangnya yang diselaputi riba yang diharamkan.

Benarlah firman Allah SWT yang menyifatkan orang-orang yang memakan harta riba itu; "Tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk Syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (Syaitan) itu.” (Al-Baqarah: 275).HARAKAHDAILY 30/10/2015

Penulis ialah Pengarah Operasi, Majlis Penyelidikan dan Tafaqquh, Dewan Ulamak PAS Pusat

Share on Myspace